Monday, May 9, 2011

Anwar : Cita-cita tetap diteruskan

KUALA PILAH 9 MEI : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai sokongan rakyat yang masih bersama dan yakin dengan beliau dan Pakatan Rakyat walaupun difitnah saban hari oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional menerusi media kawalan mereka.

Anwar menyatakan betapa setelah 13 tahun dipenjara, dihina dan dilakukan pelbagai perkara oleh Umno, cita-cita beliau tetap sama iaitu melakukan perubahan kepada negara ini.

"Setelah alami ini semua..cita-cita saya hanya satu, saya nak buat perubahan dari apa yang dipelajari dari pengalaman lebih 50 tahun di bawah Umno. Itu niat saya.

"Saya nak buktikan saya boleh buat perubahan," kata Anwar penuh emosi di hadapan hampir 10 ribu hadirin yang memenuhi perkarangan markas Pakatan Rakyat Pilah Tengah, di Kampung Seri Pilah di sini semalam.
Anwar kini giat menjelajah seluruh negara bertemu rakyat bagi menerangkan berkenaan isu semasa yang berlaku di negara ini sejak digantung Parlimen tahun lalu.

Pelbagai fitnah telah ditaburkan terhadap beliau termasuk yang terbaru kemunculan klip video seks yang dimainkan bertalu-talu di media massa arus perdana.

Serangan juga bertali arus kepada parti perikatan itu apabila terbaru, DAP didakwa kononnya merancang untuk menukar agama rasmi negara kepada agama Kristian dan melantik perdana menteri dari kalangan penganut agama itu.

Walaupun begitu, ceramah perdana dan program jelajah Anwar dan rakan-rakan Pakatan Rakyat ke pelusuk kampung terus mendapat sambutan hangat dan sentiasa dipenuhi pengunjung yang tiba tanpa dipaksa memberikan sokongan.

Anwar yang menjelajah Negeri Sembilan semalam turut bertemu penduduk di Jelebu dan Kuala Pertang sebelum ke Kuala Pilah.

Beliau turut merasmikan markas Pakatan Rakyat di tengah-tengah kampung ini dengan melepaskan lima merpati simbolik kebebasan rakyat.

Dalam ucapannya Anwar turut melahirkan rasa terharu melihat kehadiran penduduk di kawasan pedalaman kampung yang berani hadir mendengar penjelasan daripada beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat.

" Kerajaan ini kerajaan rakyat. Tanpa rakyat saya tak jadi menteri, tanpa rakyat saya tak jadi ketua pembangkang. Sebab itu kena hargai suara rakyat.

"Kerana semangat saudara-saudara, saya berterima kasih..ini buktikan rakyat kita bukan bodoh.

"Saya bersyukur, bukan saja Islam doakan saya, Kristian, Buddha, Hindu turut berdoa juga," kata Anwar.

Menurut Anwar lagi keadaan ini membuktikan betapa perancangan Umno khususnya Presidennya, Datuk Seri Najib Razak untuk memburukkan beliau di mata rakyat gagal sama sekali.

"Dengan seluruh kekuatan Najib, nak burukkan saya sebelum Pilihan Raya Umum, anti Islam-anti Melayu....namun Rakyat tak bodoh.

"Saya bukan maksum tapi untuk fitnah saya perkara yang saya tak buat, memanglah jahat,"kata beliau lagi.

TVSelangor09

No comments:

Post a Comment