Monday, May 9, 2011

Timbalan : Mat Sabu terus dahului Nasha

Penyokong bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa sekurang-kurang lima negeri memberi sokongan dengan mencalonkan beliau bertanding jawatan timbalan presiden Jun ini.

Lebih separuh kawasan di semua negeri tersebut - Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Negeri Sembilan - mencalonkan Mohamad bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Sumber mendakwa kawasan PAS di Johor paling banyak menyokongnya dengan 15 daripada 26 kawasan mencalonkan beliau bertanding jawatan tersebut.

Ia diikuti Perak (13 daripada 24 kawasan), Kedah (8 daripada 15), Sabah (5 daripada 8) dan Negeri Sembilan (4 daripada 8) mencalonkan 'Abang Mat'.

"Keputusan (jumlah pencalonan) itu diperolehi selepas membuat semakan beberapa kali (di semua kawasan)," kata sumber yang rapat dengan bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu.

Sumber itu juga memberitahu Malaysiakini kawasan di negeri lain yang turut mencalonkan Mohamad adalah Wilayah Persekutuan dengan (2 kawasan), Pulau Pinang (5), Selangor (4), Perlis (2), Melaka (2), Kelantan (6), Pahang (3) dan Sarawak (1).

Bagaimanapun, sumber turut mendakwa Mohamad tidak mendapat sebarang pencalonan di Terengganu.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara.

Sehubungan itu, sumber itu, berkata Mohamad menambah 10 lagi pencalonan setakat Sabtu lalu (7 Mei), menjadikan jumlah pencalonannya kepada 70 pencalonan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Mat Sabu memperolehi 60 pencalonan sehingga minggu lalu.

Sumber itu juga berkata penyandang jawatan berkenaan Nasharudin Mat Isa memperolehi 39 pencalonan- bertambah enam pencalonan berbanding 33 pencalonan sehingga minggu lalu.

Di tempat ketiga ialah naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menambah empat pencalonanan, menjadi 17 setakat ini.

Sementara Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula mendapat lima pencalonan, bertambah dua pencalonan.

Seorang lagi naib presiden Salahudin Ayub masih kekal dengan satu pencalonan manakala bekas menteri Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin turut mendapat satu pencalonan.

Setakat ini, hanya Mohamad dan Nasharuddin menawarkan diri untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Dalam pemilihan 2009, kedua-dua tokoh itu bertembung dalam persaingan tiga penjuru yang menyaksikan Nasharuddin terus mempertahankan jawatan tersebut dengan mendapat 480 undi.

Exco kanan kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mendapat 281 undi, manakala Mohamad meraih 261 undi.

Ibu pejabat parti menetapkan pemilihan dan muktamar PAS akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 Jun ini di Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Gombak.

Muktamar bagi sayap-sayap parti - Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama - akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan masing-masing dua hari sebelum itu.


malaysiakini

No comments:

Post a Comment