Friday, May 6, 2011

Pangkalan sokongan terhadap PAS di Sarawak

PAS telah mempunyai pengkalan sokongan di Sarawak. Hampir 10,000 mengundi PAS dalam lima kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 16 April lalu yang menyaksikan PAS tidak memenangi sebuah kerusi pun di Dun Sarawak.

Jika PAS bertanding lebih banyak kawasan tentu sokongan terhadap PAS melebihi jumlah yang digarapnya dalam lima kawasan pilihanraya berkenaan. Pengkalan sokongan ini hendaklah dibangkit dan disuburkan bagi meningkatkan prestasi PAS dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang bagi menyerlahkan kehadiran PAS dalam politik Sarawak dirasakan.

Setakat ini antara tiga komponan Pakatan Rakyat (PR)yang menyertai pilihanraya Sarawak –PAS,PKR,DAP--,DAP lah yang paling menyerlah dengan memenangi 12 kerusi Dun dari enam kerusi pada pilihanraya 2006.PKR lebih kecundang ,walaupun memenangi tiga kerusi apabila diambil kira lebih 40 kerusi yang dipertandingkan oleh PKR.

DAP bertanding 15 kerusi dan memenangi 12 kerusi. Tulisan yang disiarkan oleh Harakah Daily menjelang pilihanraya lalu telah membuat ramalan yang tepat bahawa DAP akan membuatkan kehadirannya lebih menyerlah, kerana sikap pengundi Cina (di bandar) yang anti kerajaan dan bersifat terbuka, berbanding dengan sikap pengundi etnik Bumiputra.

Penyertaan SNAP sebagai parti tertua Sarawak bertanding sendirian telah sedikit sebanyak memberi kesan balas terhadap PR apabila pakatan itu gagal membawa SNAP kedalam pakatan,walaupun SNAP langsung tidak memberi impak dalam politik Sarawak,sebagaimana yang ditunjukkan dalam keputusan pilihanraya.

Pangkalan sokongan terhadap PAS ini walaupun tidaklah sebesar yang diharapkan kerana harapan PAS ialah sekurang-kurangnya mampu memenanngi dua buah kerusi dari lima yang ditandingi.Jika PAS memenangi dua kerusi Dun sebagaiman yang diharapkan ,tentulah pangkalan perjuangan PAS akan lebih menyemarakkan.

Bagaimana pun dengan jumlah undi hampir 10,000,tanpa memenangi sebuah kerusi pun,PAS sewajarnya berlapang dada menghadapi mehnah perjuangan dan tidak cepat hilang pedoman,lalu meleraikan rasa sabar dari dada-dada para pejuang dan aktivis sedangkan ia bukan sifat fitrah Pergerakan Islam.

Ibarat dalam peperangan,pangkalan sokongan 10,000 penyokong mampu disebar luaskan untuk nanti mencapai kemenangan satu hari nanti,dengan syarat para pejuang istiqamah untuk bergerak secara bersepadu untuk mengembangkan sayap keseluruh pelusuk negeri untuk meraih sokongn seterusnya sambil melaksanakan aktiviti dakwah memperkenalkan islam yang sebenarnya kepada masyarakat Sarawak.

Masyarakat islam Sarawak masih tidak memahami islam secara syumul sebagai satu cara hidup yang komprehensif dan kerana itu menjadi tugas dan tanggungjawab pejuang PAS untuk menjelaskan hakikat perjuangan islam yang sebenarnya dan bukanlah islam yang digembar-gemburkan,mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Jika masyarakat islam sendiri tidak memahami islam sebagai nizumlhayat,apalagi masyarakat bukan islam.Ruang dan peluang yang wujud di Sarawak dengan pangkalan sokongan 10,000 orang dilima kawasan pilihanraya mampu dijadikan permulaan langkah untuk menyemarakkan sokongan lebih padu.

Kekalahan PAS dalam pilihanraya Dun Sarawak bukanlah sesuatu yang perlu terus diratapi,kerana ia adalah adat perjuangan.Rasululallah S.A.W. sendiri pernah menang dan kalah dalam peperangan untuk menegakkan islam.jadikan kekalahan sebagai motivasi untuk bangkit bagi meraih kemenangan nanti.

Kekalahan PAS untuk mencapai kemenangan satu dua kerusi telah menyebabkan kepimpinan PAS dikecam hebat sehingga ada pihak mendesak supaya PAS menukar kepimpinan yang ada.Begitu mudah menuding jari menyalahkan beberapa pribadi dalam kepimpinan sedangkan kepimpinan dalam pergerakan islam berteraskan sura dan jamaai yang bersifat kolektif dan tanggungjawab bersama.

Kepada pihak-pihak ini disarankan supaya mengalami sendiri pahit getir perjuangan dan tidak hanya melihat dari kejauhan tanpa terlibat secara langsung dalam kancah perjuangan politik islam yang sentiasa ditekan dan dicemburui oleh kalangan pemerintah-pemerintah sekular.

PAS dalam jatuh bangun perjuangan untuk menegakkan syariat islam yang menjadi ubar perjuangan sentiasa dilanda tribulasi tetapi berkat kegigihan semangat perjuangan yang membara oleh para pemimpinnya,ahli dan penyokongnya PAS mampu berada ditahap yang ada sekarang.

PAS yang memulakan sejarah perjuangan nya pada 1951, walaupun wujud pergerakan-pergerakan Islam lain sebelumnya, hanya mampu memenangi sebuah kerusi Majlis Perundingan Persekutuan pada pilihanraya sebelum merdeka pada tahun 1955.

Pada tahun 1959 PAS memenangi kerusi-kerusi Dewan Rakyat dan menghantar hampir kesemua pimpinannya keparlimen ketika itu disamping menguasai dua buah negeri,iaitu Kelantan dan Terengganu.Penguasaan Dun Terengganu menjadi pendek apabila kerajaan PAS kalah undi tidak percaya ,akibat satu konspirasi politik kotor dan jijik oleh Umno-Perikatan ketika itu.

PAS pernah mengalami zaman gemilangnya dengan menjadi parti yang mempunyai bargaining power nya yang tersendiri,walaupun tidak memerintah nagara.PAS juga pernah kalah teruk dalam pilihanraya, apabila hanya mempunyai saorang ahli parlimen yang disandang oleh Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kini PAS telah mempunyai kekuatan, berkat kegigihan semangat perjuangan yang dicurahkan oleh pimpinan,ahli dan penyokong disegenap peringkat, dari peringkat tertinggi hinggalah keperingkat paling bawah, walaupun masih tidak mampu menerajui negara. Kalau tidak ada kekuatan masakan Umno melalui presidennya merayu-rayu agar PAS sanggup menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno.

PAS mempunyai bargaining power yang kukuh dan utuh dan mampu menolak saranan Najib yang bimbang dan takut Umno akan kecundang dalam pilihanraya ke-13.Bimbang dan takut kalau PAS benar-benar akan menggantikan Umno.

Pilihanraya Dun Sarawak juga mengajar Umno-BN bahawa Sarawak tidak mampu lagi memberi kerusi parlimen yang banyak kepada Umno-BN kerana kerusi-kerusi parlimen dikawasan kaum Cina akan digondol oleh DAP. SUPP, sebuah parti dukungan orang Cina Sarawak pun tidak mampu mempertahankan kerusi-kerusi tradisional mereka.

Begitulah jatuh bangun PAS sehingga dalam keadaan sekarang telah mampu memerintah beberapa buah negeri bersama PR.InsyaAllah kehadiran PAS akan lebih cemerlang dalam pilihanraya ke-13 nanti.

Berdasarkan realiti politik etnik yang wujud di Sarawak,maka kehadiran PAS diSarawak tidaklah sangat mengecewakan walaupun tidak memenangi sebuah kerusi pun.Sekurang-kurangnya PAS telah mampu berdakwah kepada rakyat Sarawak tentang kesyumulan islam yang sebenarnya.

Sebagai perbandingan, di Semenajung sendiri,seperti dinegeri Johor PAS tidak pernah meraih kemenangan dalam mana-mana pilihanraya sehinggalah pada pilihanraya lalu apabila berlaku tsunami politik, PAS berupaya memenangi beberapa buah kerusi di Dun Johor.Ini adalah pertanda baik bagi PAS yang suatu hari nanti akan menggantikan Umno.Kekalahan PAS di Sarawak mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Kekalahan itu mengajak PAS dari kepimpinan tertingginya hinggalah para penyokong diakar umbi untuk muhasabah diri bagi meneruskan perjuangan menegakkan Islam.


Suhaimi Mokhtar harakahdaily

No comments:

Post a Comment