Friday, May 6, 2011

Osama : Shura hantar nota bantahan petang ini

KUALA LUMPUR, 6 Mei : Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura) akan mengetuai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar nota bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini jam 4.30 petang ini berhubung pembunuhan Osama bin Laden.

Nota bantahan itu juga bagi mendesak AS menghentikan pencerobohan ke atas Pakistan dan Afghanistan bagi memburu musuh AS.

Menurut Setiausaha Agung Shura, Azmi Abdul Hamid, pembunuhan Osama dan cara jenazahnya dikebumikan dengan membuangnya ke laut merupakan satu penghinaan yang dasyat kepada umat Islam.

Tindakan tentera AS menceroboh masuk ke Pakistan tanpa menghiraukan bantahan rakyat negara itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat sesebuah negara.

Selain itu, gabungan itu turut mengecam pandangan beberapa pemimpin negara Islam termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian Osama akan menjadikan dunia lebih aman.

"Kami (gabungan NGO Islam) menyatakan pandangan pemimpin di beberapa negara Islam bahawa kematian Osama akan memberi keamanan kepada dunia tidak mewakili pandangan umat Islam.

"Mereka (pemimpin Islam) banyak menyokong pembunuhan Osama termasuk Malaysia. Itu bukan sentimen rakyat Malaysia dan kami tidak mengiktiraf pendapat itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, gabungan itu akan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan persidangan khas bagi membincangkan pencerobohan AS ke Pakistan untuk membunuh rakyat yang disyaki pengganas dan musuh AS.

"Kami ingin menuntut supaya PBB mengadakan persidangan khas membincangkan pencerobohan AS ke Pakistan untuk membunuh. Ini namanya pembunuhan di luar penghakiman.

"Usul itu mesti dibuat oleh Malaysia kerana ini tidak akan meredakan kemarahan umat Islam dan orang yang cintakan keadilan," katanya yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Menurutnya, penyerahan nota bantahan itu akan diketuai oleh Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dan telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan AS.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk sama-sama menyertai himpunan di hadapan kedutaan AS petang ini sebagai tanda sokongan mereka.

Sementara itu, di Masjid Negara akan diadakan Perhimpunan Hari Kemarahan Rakyat selepas solat Jumaat.

Program itu anjuran Saf Anti Fitnah (SAF) yang menggabungkan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy) dan Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat.

Penganjuran perhimpunan itu turut bekerjasama dengan Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah.

"Kita akan maklumkan kepada orang ramai mengenai penyerahan nota bantahan ini dan menjemput mereka untuk turn bersama-sama ke Kedutaan AS. Kita anggarkan ratusan umat Islam akan turut serta," katanya.

Hazayani Zakaria Harakahdaily

No comments:

Post a Comment