KUALA LUMPUR, 6 Mei : Kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan dunia akan lebih aman sejurus selepas Osama bin Laden diisytiharkan mati dibunuh oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama?
Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kata-kata Najib bahawa dunia lebih aman dengan kematian Osama adalah terlalu mudah (simplistik) dan naif.
Bagi beliau, Najib cuba menguatkan lagi penguasaan geo-politiknya untuk memahami satu fakta yang terang lagi bersuluh bahawa 'Osama dan keganasan adalah hasil ciptaan AS.'
Selain Dr Dzulkefli, pelbagai pihak turut mengecam kenyataan Najib yang berkata, dunia akan lebih aman, selamat dan adil dengan kematian Osama.
Akhbar Berita Harian (gambar kiri) yang dikawal Umno juga secara terbuka menolak pandangan itu apabila menyiarkan satu rencana bertajuk "Tiada jaminan kematian Osama penamat keganasan global".
Bahkan, akhbar Umno sendiri, Utusan Malaysia juga nampaknya bertembung pandangan dengan Najib dalam isu ini.
Para pemimpin pertubuhan Islam juga menolak pandangan simplistik dan bodek Amerika Najib itu.
Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini kerana Amerika Syarikat sendiri dianggap sebuah negara imperialis yang sentiasa berusaha untuk meluaskan pengaruh mereka ke seluruh dunia, khususnya negara Islam dengan menaja keganasan.
“Kenyataan Najib itu mungkin kurang tepat kerana sebenarnya kuasa Amerika sendiri tetap akan meluaskan pengaruh imperialisme mereka ke seluruh dunia yang sebenarnya menggalakkan keganasan itu sendiri,” kata Sheikh Abdul Halim.
Beliau juga percaya bahawa keamanan dunia tidak hanya bergantung dengan kematian seorang Muslim yang sering dilabel pengganas seperti Osama.
“Keamanan ini asasnya adalah keadilan sebagai sebuah idea yang akan menghapuskan penindasan.
“Untuk memastikan keadilan ini mengambil tempat, ia memerlukan usaha bersama. Seorang individu sahaja tidak akan mampu untuk mewujudkan keadilan atau pun mencetuskan keganasan,” kata Sheikh Abdul Halim.
Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar) dan Setiausaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama juga merakamkan kutukan keras terhadap tindakan tentera Amerika membuang jenazah As Syahid Osama ke laut.
“Tindakan ini adalah suatu penghinaan yang jelas dan dunia harus membantah sikap Amerika yang sama sekali tidak boleh diterima.
“Jenazah As Syahid sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat andainya dan diuruskan pengkebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim,” tegas mereka.
PM membodek Amerika
“PM terlalu 'membodek' AS dan Obama. Islam menolak sebarang keganasan. Namun, kita kena faham mengapa keganasan terus berlaku?” bidas Dr Dzulkefly (gambar) dalam ulasannya mengenai hal ini.
Menurut Dr Dzul, terdapat dua penyebab utama kezaliman AS iaitu dalam bentuk polisi dan tindakan.
“AS pembekal WMD (weapon of mass destruction – senjata pemusnah besar-besaran) serta terus membekalkan senjata tercanggih dengan penyelidikan mereka termasuk kepada Iraq (Saddam), Israel dan lain-lain merupakan punca kezaliman akibat daripada tindakan.
"Ketidakadilan polisi pula berlaku khasnya di kawasan Timur Tengah dan Palestin juga merupakan salah satu bentuk kezaliman AS,” terangnya lagi.
Najib sepatutnya, kata Dr Dzul peka dengan hati-budi dan maruah umat Islam khususnya di Timur Tengah dan Palestin, di mana kezaliman terhadap negara-negara Islam di sana dibiarkan berterusan oleh kuasa-kuasa di Barat.
“Berdekad Barat mengizinkan kezaliman. Inilah punca segalanya,” ujar beliau. “PM sepatutnya kata - dunia tidak akan selamat kalau Amerika masih bersikap dwi-standard menyokong keganasan di Timur Tengah dan Palestine walaupun Osama dibunuh.”
Selain itu, Dr Dzul berkata Najib juga harus bertanya balik kepada Obama, “Bukankah Osama anak didik Amerika? Mengapa Osama berpaling tadah selepas tamat blok Russia?”, di mana menurutnya ia adalah disebabkan sikap dwi-standard AS sendiri.
Sekiranya Najib ingin menjadi juara umat Islam, Dr Dzul menasihatkan beliau supaya jangan bertindak semata-mata kerana ingin membodek Obama dan AS untuk kerana mahu diundang ke White House dan merenungkan siapa penaja kezaliman yang sebenarnya di dunia ini.
“Malangnya apabila ada pemimpin negara umat Islam yang membodek AS kerana mahu diundang ke Rumah Putih. Tindakan ini amat mengaibkan umat Islam.
"PM kalau mahu jadi juara umat Islam, jangan bertindak 'membodek’ Obama-AS. Jangan berbolak-balik! PM perlu menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf dengan kadar segera bagi menjaga sensitiviti umat Islam,” nasihat Dr Dzul.
Persoalan yang harus direnungkan semua umat Islam
Sebagai pemimpin Islam, patutkah Najib mengeluarkan kata-kata begitu, atau lebih tepat lagi, adakah Najib terlupa bahawa dirinya seorang Islam dan juga seorang pemimpin yang majoritinya Islam ketika mengeluarkan kenyataan tersebut yang ternyata akan menyinggung sensitiviti umat Islam sedunia?
Ataupun, itu sememangnya jiwa Umno seperti yang dinyatakan oleh MCA tempoh hari, apabila parti tersebut menyuruh PAS membuang perjuangan Islamnya sekiranya ingin menerima jemputan Umno menyertai Barisan Nasional (BN)?
Jikalau Umno masih ingat akan perjuangan Islam, sepatutnya MCA sudah lama melenting untuk keluar daripada BN.
Adakah ini bermakna MCA, yang kebelakangan ini telah semakin menunjukkan belang anti-Islamnya, masih sanggup berada dalam BN sehingga kini semata-mata kerana mereka 100% yakin dan pasti bahawa Umno sudah tidak berpaksikan lagi pada Islam dalam segala tindak-tanduknya?
Harakahdaily
No comments:
Post a Comment