SHAH ALAM 6 MEI : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Datuk Teng Chang Khim mengalu-alukan Perdana Menteri Malaysia menggesa Umno Selangor supaya bekerja keras merampas semula negeri ini dari tangan Pakatan Rakyat.
Teng bagaimanapun mengingatkan Perdana Menteri itu bahawa beliau boleh menggunakan apa jua 'senjata' atau cara yang di mahukan, namun ia haruslah dilakukan dengan cara yang betul dan bukannya menggunakan politik wang ketika rampasan kuasa di Perak dua tahun lalu.
"Setiap parti memang berhak untuk bertanding bagi mendapatkan kuasa tapi saya berharap pihak Barisan Nasional menggunakan cara yang mengikut peraturan, undang-undang, cara yang bersih, jangan menggunakan cara yang kotor dengan menfitnah dan tidak menggunakan cara yang tidak direstui agama bagi mencapai matlamat tersebut,"katanya.
Menurut Teng, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kekhuatiran tidak perlu wujud ketika menjelang pilihan raya kerana kuasa adalah di
tangan rakyat.
Justeru, beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertindak zalim terhadap rakyat sedangkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mendapat sambutan baik dari masyarakat di negeri ini.
Ia ujar Teng hanyalah strategi terdesak Umno-BN untuk meraih kembali sokongan rakyat kepada parti itu.
"Kita mengakui kalau ada kelemahan, tidak ada manusia dan sistem yang sempurna tapi kalau kita membandingkan program dan juga dasar yang dilaksanakan oleh
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sudah jelas ketara perbezaannya di mana program Pakatan Rakyat memang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,"tambah Teng.
Jelas beliau contoh paling ketara yang dilakukan kerajaan negeri adalah dengan memberi air percuma, di mana Pakatan Rakyat mampu melakukannya pada tahun
pertama memerintah sedangkan Barisan Nasional yang memerintah selama 50 tahun namun tidak membantu meringankan beban rakyat.
Malah katanya lagi baru-baru ini kerajaan negeri telah menubuhkan Kumpulan Wang Tabung Warisan Bencana Alam sebagai langkah menghadapi bencana yang tidak
pernah difikirkan Umno-BN sebelum ini.
Najib malam tadi menggesa Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan Barisan Nasional dapat merampas kembali negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”
Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang
dimiliki mereka.
"Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lalu).
"Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," katanya.
No comments:
Post a Comment