Sebaliknya, beliau merujuk perkataan 'haram' itu kepada mana-mana berita fitnah secara am. |
PETALING JAYA : Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz hari ini menafikan laporan akhbar mingguan PKR Suara Keadilan yang memetik kenyataannya melabelkan akhbar harian Utusan Malaysia sebagai ‘haram’ dari sudut Islam.
Sebaliknya, beliau merujuk perkataan ‘haram’ itu kepada mana-mana berita fitnah secara am yang disiarkan dalam media cetak dan
elektronik termasuk melalui kata-kata yang disampaikan secara lisan kepada individu.
Lidah rasmi PKR, Suara Keadilan 13 dalam terbitannya secara tidak berkala di halaman dua semalam menyiarkan kenyataan Haron Din yang menyarankan agar umat Islam di negara jangan membeli dan membaca Utusan Malaysia kerana media tersebut boleh dikategori sebagai “haram” dari sudut Islam.
“Menurutnya, mana-mana media yang menghalalkan amalan fitnah, cubaan mengaibkan orang lain, menggalakkan berlakunya perpecahan umat Islam dan perpaduan kaum adalah haram untuk dibeli dan dibaca,” akhbar itu dipetik.
Katanya, dalam temubualnya dengan wartawan Suara Keadilan langsung tidak pernah menyebut akhbar Utusan dan ulasan yang diberikannya adalah berpandukan kepada Al-Quran dan hadis semata-mata.
“Saya bercakap dalam maklumat umum pada mana-mana orang yang menyebarkan fitnah dan membuka keaiban. Kalau dilihat kandungan berita itu saya tidak pernah menyentuh tentang Utusan, cuma tajuk sahaja yang tidak betul.
“Sedangkan saya sendiri pun baca Utusan…..jika wartawan itu tersalah atau dengan sengaja salah lapor itu wallahualam,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mengulas tentang pendapatnya terhadap berita yang disiarkan secara fitnah, Haron Din yang juga pengasas pusat perubatan Islam Darussyifa’ berkata perkara itu dirujuk melalui Al-Quran dalam Surah An-Nur ayat 19 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan berita yang memalukan orang Islam (termasuk juga) dalam mana-mana orang, maka bagi mereka itu adalah azab Allah di dunia dan di akhirat Allah mengetahuinya sedangkan kamu tidak mengetahui”.
Katanya, begitu juga dalam Surah Al-Hujarat ayat 8 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu berita dari seseorang yang zahirnya fasiq, maka hendaklah kamu pastikan terlebih dahulu sebelum mempercayainya. Jika tidak kamu menganiayai seseorang dan kamu akan menyesal kemudiannya”.
Ditanya jika ‘berita fitnah’ itu juga termasuk dengan isu penyebaran video seks yang mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau merujuk kepada kitab fiqah ‘Man Haj’ Mazhab Shafie;
“Dan diharamkan ke atas orang Islam menyebarkan berita yang memalukan kepada seseorang sama ada ianya benar atau bohong. Kalau ianya benar maka ia telah membongkar dan memalukan orang itu dan orang itu adalah haram. Kalau tak benar dia telah memfitnah orang, maka kedua-duanya itu diharamkan”.
“Jadi ulasan saya itu tidak merujuk kepada mana-mana individu atau akhbar…..apa yang Suara Keadilan siarkan itu mungkin mereka yang fahamkan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali ketika diminta mengulas mengenainya berkata berita yang disiarkan Suara Keadilan itu berat sebelah jika kenyataan Haron Din itu dirujuk hanya kepada Utusan sahaja.
“Saya tidak fikir begitu. Bagaimana akhbar atau media milik pembangkang yang sifatnya jauh lebih teruk daripada Utusan. Pada saya ini semua pandangan yang ada kepentingan politik yang tersirat,” katanya ringkas kepada FMT.
Jamilah Kamarudin FMT
No comments:
Post a Comment