Wednesday, April 27, 2011

KEADILAN fail petisyen Pilihanraya Sarawak – Baru Bian

KUALA LUMPUR : KEADILAN sedang mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada pilihanraya Sarawak yang berakhir 16 April lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian berkata, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggazetkan keputusan pilihanraya itu, pihaknya akan memfailkan petisyen dalam tempoh 14 hari.

“Itu undang-undang yang perlu kita patuhi. Tujuan memfailkan petisyen ini bagi memastikan ketelusan proses pilihanraya terutamanya di beberapa kawasan yang kita mempunyai bukti Barisan Nasional merasuah penduduk sehingga calonnya menang.

“Malah, ugutan turut berlaku. Setiap cabang KEADILAN di kerusi DUN yang kita tandingi sudah diarahkan termasuklah mengumpulkan bukti bergambar bagi memastikan petisyen yang kita failkan kelak benar-benar teliti,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Baru yang juga Adun Ba’kelalan menjelaskan, kerusi yang pasti akan difailkan termasuk DUN Senadin yang menyaksikan calon KEADILAN, Dr Michael Teo Yu Keng hanya tewas 58 undi kepada BN dalam saingan satu lawan satu.

Namun, katanya, SPR enggan membuat kiraan semula undi meskipun didesak oleh calon dan wakil calon KEADILAN supaya berbuat demikian.

“Dalam kes Senadin misalnya, terdapat bukti kotak undi di usik manakala pegawai SPR enggan mengira semula undi walaupun dari segi undang-undang pengiraan harus dibuat. Bukti seperti ini akan turut diambil kira di DUN lain yang kita tandingi,” katanya.

Sebelum ini, calon KEADILAN di DUN Tebedu, Dr Christopher Anak Kiyui percaya SPR bersuhabat memenangkan BN di kawasan itu melalui tandatangan palsu pada borang 14.

“Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen KEADILAN lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).

“Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (dilakukan oleh) SPR. Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu,” kata Christopher yang sudah pun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung pada 18 April lalu.

DUN Tebedu dimenangi calon BN, yang juga penyandang kerusi itu selama 15 tahun, Datuk Michael Manyin Anak Jawong dengan majoriti 4,066 undi berbanding undi yang diraih Christopher sebanyak 2,130.

Calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Anthony Anak Nais dan calon Bebas Kipli Anak Ale yang turut bertanding di kerusi itu masing-masing hanya mendapat 468 dan 260 undi sekaligus hilang wang pertaruhan.


KeadilanDaily

No comments:

Post a Comment