Wednesday, April 27, 2011

Klip video seks terus belenggu Anwar

Klips video seks terus membelenggu Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, apabila beliau diminta polis untuk merakamkan kenyataan tambahan pada hari esok, di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square. Sementara itu, bahagian kedua klip video seks selama 1 minit dan 47 saat telah dimuatkan ke dalam laman internet, Youtube, tengahari tadi.

Bagaimanapun, klip video kedua yang dinamakan "Papa Nurul Izzah Part II" ini telah dialihkan dari Youtube, pada kira-kira jam 6.45 petang tadi. Bahagian pertama dengan masa yang sama, iaitu 1 minit 47 saat telah dimuatkan ke dalam Youtube pada 4 April 2011, selepas penayangannya kepada media pada 21 Mac 2011 di Seri Carcosa Negara.

Keluarga Anwar termasuk isterinya Wan Azizah Wan Ismail, anak sulungnya Nurul Izzah Anwar dan bapa mertuanya Wan Ismail telah mengadakan sidang media pada 5 April, menafikan bahawa pelaku dalam video tersebut adalah Anwar Ibrahim, setelah menontonnya.


Dalam satu kenyataan tadi, PKR memaklumkan kepada media bahawa "pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah memohon untuk merakamkan kenyataan tambahan daripada Anwar Ibrahim berhubung laporan polis beliau pada 22 Mac 2011 di IPD Dang Wangi ke atas individu-individu yang bertanggungjawab menayangkan rakaman video lucah di Carcosa Seri Negara. Individu-individu ini juga telah mengedarkan kenyataan bertulis kepada para wartawan dengan fitnah bahawa Anwar merupakan individu di dalam video lucah tersebut serta mengugut beliau supaya bersara dari politik."

Kenyataan Anwar akan dirakamkan oleh DSP Shanmugamoorthy pada hari Khamis (28 April 2011), jam 2.30 petang di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya. Satu sidang media akan diadakan oleh Anwar sebaik kenyataan beliau selesai dirakamkan.


MerdekaReview

No comments:

Post a Comment