Thursday, June 2, 2011

PAS digesa dekati rakyat Sabah dan Sarawak

Perwakilan Pemuda Sabah, Firdaus Puad kesal ekoran tiada sebarang agenda untuk Sabah mahupun Sarawak pada Muktamar Pemuda kali ini.

Laporan Muktamar Pemuda PAS ke 52

SHAH ALAM : PAS digesa memberi tumpuan kepada negeri Sabah dan Sarawak, dengan mendekati rakyatnya agar mereka lebih mengenali parti itu, jika memasang impian untuk menawan Putrajaya.

Perwakilan Pemuda Sabah, Firdaus Puad kesal ekoran tiada sebarang agenda untuk Sabah mahupun Sarawak pada Muktamar Pemuda kali ini.

“PAS dilihat terlalu ghairah untuk menawan Putrajaya sedangkan parti itu tidak mengambil inisiatif untuk menawan Sabah,” katanya ketika membahas ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Dewan MBSA, di sini hari ini.

Katanya, rakyat Sabah berani membuat sebarang perubahan namun, PAS gagal membuka ruang untuk mendekati rakyat di negeri dibawah bayu itu.

“PAS ghairah mahu tawan Putrajaya sedangkan ia menjadi mimpi indah semata-mata. PAS tidak ambil inisiatif untuk tawan Sabah.

Rakyat Sabah bukan tidak berani tukar kerajaan kerana sejarah sudah membuktikan mereka berani.

Umno-BN dianggap penjajah

“Rakyat Sabah anggap Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai penjajah kerana mengangkut kekayaan balik ke Semenanjung. Dulu Sabah kaya tetapi sekarang jadi negeri termiskin. Sabah tidak akan berubah kerana PAS tidak mampu bawa perubahan.

“PAS gagal bawa ruang untuk bukti kepada seluruh rakyat negeri itu bahawa mereka merupakan rakan kongsi bukannya rakyat kelas kedua seperti yang dibuat Umno-BN ,” katanya.

Sementara itu perwakilan Selangor Mohd Helmi Radzuan pula menyifatkan PAS terutamanya pemuda masih lalai walaupun pilihan raya umum ke-13 mungkin diadakan pada Julai depan.

“Kita tidak seiring, mana tahu (Perdana Menteri) Najib (Tun Razak) dan Rosmah (Mansor) dapat ‘wahyu’ nak adakan pilihan raya Julai ini? Sedangkan mood pemuda bukan untuk pilihan raya, mereka kurang serius,” katanya.

Mohd Helmi berkata pemuda PAS harus bangkit dan terus mendekati pengundi-pengundi muda malahan perlu mahir dalam menjalankan daftar pemilih.

Bagi perwakilan Negeri Sembilan Fairuz Mohd Isa pula mendesak agar parti komponen dalam Pakatan Rakyat dapat memberi kerusi Changkat Jering dan Kulim-Bandar Baru kepada PAS.


Fazy Sahir FMT

No comments:

Post a Comment