Thursday, June 2, 2011

Anak Nik Aziz : Daripada hasrat mahu sara, muncul No.2 Pemuda PAS

Nik Mohd Abduh (tengah) bersama Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan (kanan) dan Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob yang dipilih sebagai naib ketua yang baru.
SHAH ALAM, 2 Jun – Daripada hasrat mahu bersara daripada Pemuda PAS, anak lelaki Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohd Abduh berkata, beliau kini ‘kembali’ ke pangkuan pergerakan itu sebagai timbalan ketuanya.

“Saya sebenarnya sudah buat keputusan mahu bersara daripada Pemuda PAS, saya sudah pun berbincang dengan kawan-kawan saya pun.

“Saya hanya membuat keputusan mahu bertanding (atas pujukan kawan) dua jam sebelum tempoh akhir penerimaan pencalonan ditutup,” kata beliau ketika ditemui selepas keputusan pemilihan diumumkan di sini petang ini.

“Saya saya kena jalankan tugas sebagai timbalan ketua,” kata pemimpin yang bertubuh kecil ini.

Nik Mohd Abduh yang berusia 41 tahun berkata, beliau yang terkejut sejak menerima pencalonan, masih terkejut dengan keputusan hari ini.

“Sebab itu, saya kata saya hanya mahu bercakap dengan pemberita malam tadi... saya masih terkejut,” katanya yang muncul tempat teratas pada pemilihan kerusi ahli jawatankuasa kerja Pemuda pusat dua tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada faktor populariti bapanya turut menyumbang kepada kemenangan hari ini, Nik Mohd Abduh, “mungkin selepas saya berkata mahu bersara, mungkin perwakilan sayang pada bapa saya.”

Mengenai misi selaku timbalan ketua Pemuda PAS, Nik Mohd Abduh berkata, “saya mahu menjalankan tugas-tugas yang selama ini dijalankan oleh timbalan ketua sebelum ini dan mahu menjadi seorang timbalan yang baik kepada (Ketua Pemuda) Nasrudin Hassan.”

“Kami bertanding dengan semangat adik-beradik, kami empat orang (calon timbalan ketua Pemuda) sudah berpakat bahawa akan bertanding dengan harmoni... saya berharap media tidak sensasikan, tetapi hanya fokus yang ini sahaja,” kata beliau.

Dalam pada itu, Nasrudin pula berkata, beliau tidak ada sebarang masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja di bawah barisan kepimpinan baru.

“Sebagaimana saya katakan sebelum ini, saya tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa pun,” katanya.

Katanya, persaingan memang sengit memandangkan kesemua calon yang bertanding merupakan pemimpin yang ada kebolehan seimbang.

“Saya suka menggunakan analogi stereng kereta... di mana kereta ada satu stereng dan hanya seorang sahaja boleh pegang stereng pada satu-satu masa walaupun lebih daripada seorang boleh memandu,” katanya.

Kata Nasrudin, beliau akan membuat enam lantikan sebagai exco tambahan bagi mengimbangkan pasukannya dengan mengambil kira aspek pengalaman dalam politik, pendidikan agama dan kepimpinan.

Nik Mohd Abduh mengatasi menewaskan tiga calon lain termasuk penyandangnya Azman Shapawi Abdul Rani.

Dalam persaingan empat penjuru kali ini, Nik Abduh memperoleh 260 undi manakala Azman Shapawi menerima 94, Mohd Firdaus Jaafar (193) dan Suhaizan Kaiat (107).

Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob memperoleh 421 undi memenangi saingan kerusi naib ketua.

Selain anak Nik Aziz, anak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Khalil Abd Hadi juga terpilih sebagai ahli jawatankuasa kerja Pemuda PAS pusat.

No comments:

Post a Comment