Thursday, June 2, 2011

Amaran Pemuda PAS pada k'jaan BN, Pakatan

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan memberi peringatan dan amaran kepada kerajaan BN dan Pakatan Rakyat supaya tidak memandang rendah kehadiran generasi muda di persada politik negara ini.

Ini kerana katanya, berdasarkan sejarah, kebangkitan anak muda menumbangkan kuasa angkuh regim diktator dunia hari ini hasil kepedulian mereka terhadap perkembangan semasa dan celik maklumat untuk perubahan.

"Justeru itu, saya mewakili Dewan Pemuda PAS memberi peringatan kepada kerajaan yang memerintah, sama ada kerajaan BN di peringkat persekutuan mahupun kerajaan Pakatan di beberapa buah negeri termasuk Kelantan yang telah sekian lama ditadbir oleh PAS, supaya tidak memandang rendah kehadiran generasi milenium ini.

"DPP (Dewan Pemuda PAS) memberi amaran kepada BN supaya membuka selebarnya pintu demokrasi juga sekali–kali jangan menipu dan menyeleweng serta menyalahguna kuasa semata–mata untuk meraih kemenangan di dalam pilihan raya.

"Andai BN masih degil, angkuh dan keras kepala, mereka pasti berdepan sekali lagi dengan kebangkitan anak muda yang sukar dibendung, bersama operasi BERSIH 2," katanya.

Demonstrasi BERSIH 2 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Nasrudin berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Pemuda PAS ke-52 yang bertajuk "Memimpin Kebangkitan Anak Muda" di Auditorium Banquet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Selasa malam.

Pinda sistem PTPTN

Dalam ucapannya juga, Nasrudin turut menegaskan supaya kerajaan Pakatan supaya menunaikan manifesto pilihan raya umum 2008 khusus negara berkebajikan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

"Lebih khusus, DPP dengan penuh insaf dan prihatin merujuk kepada kerajaan Pakatan di Kelantan dan Kedah sedang PAS dominan di situ, supaya mereka segera mengatasi kelemahan yang ada, sentiasa peka terhadap tuntutan rakyat, memperkukuh saf kepimpinan dan memperkasa jentera pentadbiran kerajaan," katanya.

Nasrudin berkata generasi anak muda kini adalah generasi yang sentiasa bersedia melakukan perubahan terutama apabila mereka menyaksikan wujudnya elemen yang mendorong, seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penindasan, ketidakadilan dan perlecehan syariat.

Nasrudin juga membuat tuntutan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya kutipan pinjaman dikuatkuasakan hanya selepas enam bulan dari tarikh peminjam mendapat pekerjaan tetap yang setaraf dengan kelulusan, bukan enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Selain itu, beliau juga menuntut supaya Seksyen 22A Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) dan juga Pekeliling PTPTN Bilangan Satu Tahun 2009 yang menyenaraihitamkan peminjam sehingga menghalang keluar negara dipinda atau dimansuh.

Beliau juga menggesa diperkenalkan pinjaman baru tanpa faedah atau kos perkhidmatan menggantikan sistem sedia ada dan memberikan biasiswa kepada Melayu dan bumiputera sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas tentang media, untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang, Nasrudin mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permit kepada bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari, menerbitkan akhbar Utusan Rakyat dan akhbar Purnama yang dimohon PAS lebih sedekad.


Nasha berserah pada perwakilan PAS

Abdul Rahim Sabri Malaysiakini

No comments:

Post a Comment