Wednesday, May 25, 2011

PR berangan takluk 10 kerusi Parlimen Sarawak

Mohamad Sabu (tengah) bergambar bersama mangsa kebakaran di Pujut Corner selepas menyampaikan bantuan.
MIRI – Pakatan Rakyat (PR) memasang angan-angan mahu memenangi sekurang-kurangnya sepuluh kerusi Parlimen di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat, Mohamad Sabu berkata, parti akan melancarkan Buku Jingga PR yang antara lain mensasarkan 10 kerusi Parlimen di Sarawak untuk membolehkan PR menakluki Putrajaya.

“Kita mesti menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di Sarawak dan 10 lagi di Sabah. Antaranya Parlimen Miri, Baram dan Sibuti,” katanya berucap pada majlis makan tengah hari di sebuah premis di Pusat Komersil Saberkas hari ini.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu berkata, parti kini tidak boleh bergoyang kaki memandangkan banyak persiapan yang dilakukan bagi menghadapi PRU-13.

“Nampaknya, kita semua tak boleh rehat sebab selepas pilihan raya negeri akan ada pilihan raya yang lebih besar iaitu PRU-13. Ada yang cakap Julai, November dan awal tahun hadapan, maksudnya ia akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya yang akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden PAS tidak lama lagi.

Hadir sama pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Senadin, Lim Su Kien, Ketua PAS Miri, Jofrie Jaraiee.

Mat Sabu dan rombongan kemudian melawat tapak tandas awam berhampiran Pusat Komersil Saberkas selain menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Pujut Corner.

Oleh Hazel Lee SarawakUpdate