Wednesday, May 25, 2011

MB Kedah tidak tanding naib, timbalan presiden PAS

Bagaimanapun beliau akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam muktamar kali ini dari 3 hingga 5 Jun.
ALOR SETAR : Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden mahupun Naib Presiden PAS pada muktamar PAS ke-57 bulan depan.

Setiausaha akhbarnya, Mohd Helmi Mohd Khalid, berkata ini adalah kerana Azizan ingin memberi sepenuh tumpuan dan perhatian kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Tanding AJK

“Bagaimanapun beliau akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam muktamar kali ini dari 3 hingga 5 Jun.

“Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pergerakan-pergerakan PAS kawasan yang telah mencalonkan beliau bagi jawatan terbabit,” katanya.

Azizan adalah antara yang menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden selain penyandang Nasharudin Mat Isa; Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Anggota Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa.

Dengan itu, pertandingan bagi jawatan nombor dua itu melibatkan Nasharuddin, Mohamad dan Tuan Ibrahim setelah Salahuddin dan Husam mengumumkan tidak akan bertanding.

- Bernama

FMT

No comments:

Post a Comment