Monday, April 6, 2009

Mahathir: Si tikus derhaka yang kononnya membela raja

Seorang perwakilan Umno daripada Pulau Pinang mengejutkan perhimpunan agung Umno pada tahun 1991 dengan pertanyaan sinis: "Siapakah tikus yang sanggup menggantungkan loceng di leher kucing."
Dewan Merdeka PWTC tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno itu tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Masing-masing perwakilan yang sebelumnya bersorak-sorai apabila Raja-raja Melayu dihina dan dipermain-mainkan sepanjang tiga hari perhimpunan itu berlangsung mula berasa seram sejuk.
Sepanjang tiga hari, perhimpunan Agung Umno tahun itu berubah menjadi 'sidang penderhakaan' terbesar Melayu terhadap Raja-rajanya. Tidak cukup dengan kata-kata nista dan cemuhan yang dilemparkan terhadap Raja-raja Melayu, media massa pro-Umno juga turut menyiarkan ucapan-ucapan perwakilan dan pemimpin Umno yang mengecam dan mempersendakan Raja-raja.
Matlamatnya satu, mahu perlembagaan dipinda bagi membataskan kuasa dan menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu.
Dato' Zainal Abidin Sakom, wakil Umno Selangor yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar waktu itu menjadi wira dalam perhimpunan itu. Beliau tanpa segan silu dan tidak beradab menyerang peribadi Sultan Selangor. Zainal turut menyerahkan senarai salah laku Sultan Selangor kepada Dr Mahathir untuk didedahkan kepada rakyat.
Penderhakaan terbuka Zainal menaikkan semangat para perwakilan Umno. Satu demi satu aib Raja-raja Melayu didedahkan dan keaiban-keaiban ini disiarkan oleh media elektronik pro-Umno secara langsung dan media cetak pro-BN keesokan harinya.
Bagaimanapun cerita tikus dan kucing oleh perwakilan Umno Pulau Pinang itu tiba-tiba mengecutkan perut para perwakilan yang sebelum itu begitu biadap dan celupar menghina istana.
Tiada seorang pun perwakilan Umno yang berani menyahut cabaran perwakilan Umno itu sehinggalah ucapan penangguhan Presiden.
Dan ketika memberikan ucapan penangguhannya Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad (Dato' Seri) dengan beraninya berkata: "Ada perwakilan yang bertanya siapa tikus yang berani menggantung loceng di leher kucing... Jawapannya kamilah... Kami yang berada di atas pentas ini (Ahli Majlis Tertinggi Umno)."
Maka bersorak-sorai para perwakilan Umno meraikan keberanian Dr Mahathir itu. Hasilnya satu Resolusi 4 Perkara telah diluluskan Perhimpunan Agung Umno untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.

18 tahun kemudian

Di Bukit Gantang; Dr Mahathir yang baru dua hari menyertai Umno mencerca calon PAS, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin kerana kononnya menderhaka kepada Sultan Perak.
"...'Saya pohon derhaka'. Cukup special. Tidak pernah dengar perkataan ini sejak (peristiwa) Sultan Mahmud mangkat dijulang, inilah kali pertama kita dengar," kata Mahathir dihadapan ribuan penyokongnya.
"Kalau tidak bersetuju (kepada raja), kita tidak bersetuju, OK. Tapi jangan sampai kata mohon menderhaka. Wah, bukan main, besar," kelentong Dr Mahathir.
Tidak payahlah rasanya untuk kita mengulas kenyataan 'negarawan' itu. Sejarah panjang pentadbiran Mahathir sudah cukup untuk menyaksikan peri derhakanya beliau kepada Raja-raja Melayu.
Cuma dikesalkan adalah kelompok Melayu penyokong Umno di Bukit Gantang yang masih bersorak-sorai menyokong Dr Mahathir, si tikus tua yang kononnya masih punyai aura untuk memartabatkan Umno dan BN.

Sungguh benar kenyataan Dr Mahathir... "Melayu mudah lupa".
HarakahDaily

No comments:

Post a Comment