Sunday, June 5, 2011

Perwakilan PAS kutuk sumpah laknat ‘iblis’ dan ‘syaitan’

Isu video seks membabitkan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat juga disifatkan sebagai satu usaha untuk memecah- belahkan masyarakat dan umat Islam.
Laporan Muktamar Tahunan PAS ke-57
GOMBAK : Perwakilan PAS hari ini meluluskan usul isu video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat sambil menyifatkannya sebagai suatu bentuk fitnah dan sumpah laknat ‘iblis’ dan ‘syaitan’.

Usul itu dikemukakan oleh wakil Dewan Ulama PAS Pusat Mohd Fadhil Noor dan disokong sebulat suara oleh para perwakilan pada

Muktamar Tahunan PAS ke 57, di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar di sini pagi ini.

Isu video seks itu juga disifatkan sebagai satu usaha untuk memecah-belahkan masyarakat dan umat Islam.

Menurut Mohd Fadhil, tindakan menyebarkan video seks yang didalangi Umno-Barisan Nasional (BN) itu bertujuan untuk menjatuhkan maruah diri seseorang.

“Orang yang memfitnah sedar atau tidak sumpah dibuat merupakan sumpah iblis dan syaitan. Sifat buruk sangka ini dibawa Umno-BN yang bukan berakhlak Islam,” katanya.

Usul ini turut disokong wakil Dewan Ulama’ dari Ipoh Barat Norazli Musa yang mendesak agar budaya fitnah itu dihentikan segera sebelum merebak ke seluruh negara.

Norazli yang dilihat lantang berucap turut mendesak agar pihak mufti lebih bertanggungjawab dalam mengawasi budaya seperti itu.

“Kita perlu desak mufti-mufti untuk perhatikan budaya ini sebelum merebak. Desak mufti untuk bangkit agar kerajaan dan rakyat jauh daripada benda jijik dan jahat ini.

“Umno-BN terus menyokong budaya fitnah, jijik dan kotor di negara kita. Mereka terus membisu seolah-oleh seperti syaitan yang sedang bercakap. Ini lebih memburukkan budaya Melayu yang dianggap bersopan santun. Maka kita hentikan budaya ini.

“Kita harap rakyat tidak percaya dan jangan sesekali sokong Umno-BN kerana pasti akan mendapat bala daripada Allah SWT,” katanya.

Keindahan perundangan Islam

Bagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Hanipa Maidin, budaya kotor dibawa Umno-BN ini memberi peluang untuk PAS menonjol kebaikan dan keindahan perundangan Islam.

“Lihat bagaimana BN tahu bahawa rakyat akan percaya maka mereka guna ‘code’ dan ‘uncode’ Islam. Mereka tahu bahawa setakat menggunakan video seks sahaja tidak berkesan maka mereka hiaskan dengan sumpah.

“Guna tiga elemen sumpah nama orang Islam, guna Al-Quran walaupun tidak membacanya dan terakhir sumpah dalam masjid. Ini strategi politik Umno-BN……mereka tidak hitung dosa dan pahala.

“Hanya golongan syaitan yang hormati mereka maka peluang PAS untuk menonjol dengan memberi maklumat kepada rakyat melalui perundangan Islam,” katanya.

Siasat kad pengenalan palsu

Sementara itu, Exco Pemuda PAS Pusat Mohd Sany Hamzah mencadangkan agar satu suruhanjaya diraja dibentuk untuk menyiasat skandal kad pengenalan palsu yang diberikan untuk kepentingan pilihan raya.

Usul diluluskan sebulat suara itu juga mendesar agar Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara menyiasat hal itu secara teliti.

Usul itu turut mendapat sokongan daripada perwakilan PAS Kawasan Pulai Zaaba Ibrahim. Beliau juga mendedahkan pengalamannya menemui 14 keping kad pengenalan bersama dengan kad berlogo BN di satu tempat pembuangan sampah.

Ekoran itu, beliau bersama Dewan Pemuda PAS Johor membuat laporan polis.


Fazy Sahir FMT

No comments:

Post a Comment