Tuesday, May 31, 2011

“Tiada Erdogan, ulamak dan kenegerian dalam PAS”

Pihak yang suka menggambarkan seolah-olah ada dua kumpulan tidak lebih daripada strategi musuh untuk memecah belahkan PAS.
PETALING JAYA : Calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tidak wujud kumpulan Erdogan, ulamak dan kenegerian dalam parti itu.

“Yang ada hanya satu keluarga PAS – dan semestinya dalam satu keluarga akan ada sudut pandangan yang mungkin berbeza dan latar belakang pendidikan yang pelbagai.

“Ada jurutera, ada cikgu, ahli kimia, ahli bahasa, ahli pidato dan ahli agama,” katanya dalam wawancara melalui emel.

Menurut naib presiden PAS itu, pihak yang suka menggambarkan seolah-olah ada dua kumpulan tidak lebih daripada strategi musuh untuk memecah belahkan PAS.

Katanya, dalam PAS tiada bangsa bergelar “erdogan”, “ulamak” ataupun mengikut kenegerian.

Kumpulan Ustaz

Mengenai dirinya, Tuan Ibrahim menjelaskan, beliau dalam kumpulan ustaz dan tidak berani mengaku ulamak..

Menurutnya lagi, PAS telah berada di atas landasan yang betul dan semakin diyakini, sama ada oleh kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat atau pihak luar.

“Muktamar adalah pemangkin masa depan dan sumber untuk membina kekuatan bagi memperkasakan parti.

“Pada pandangan saya, sekiranya PAS dapat mendapat seorang-dua strategis politik daripada luar parti untuk memberikan pandangan politik mereka – ia juga akan sangat membantu,” katanya.

Hancurkan parti

Cabaran besar ini, katanya perlu ditangani segera, sebelum ianya merebak menjadi barah yang menghancurkan jamaah.

“PAS haruslah tonjolkan Islam melalui tingkahlaku, pertuturan dan cara diskusi kita dalam isu-isu untuk meruntuhkan imej-imej Islam yang buruk akibat tindakan Umno selama ini.

“Apabila rakyat nampak kebaikan Islam bukan melalui ‘words’ tetapi melalui ‘deeds’, insyaAllah rakyat akan dapat menerima Islam sebagai sistem yang sempurna dalam mentadbir kehidupan manusia.

“Akan tetapi, sekadar pandangan peribadi, janganlah kita tergesa-gesa untuk seolah-olah “memaksa” Islam ke atas mereka yang belum bersedia atau mereka yang sudah terpengaruh dengan propaganda musuh, kerana ini bukan sahaja tidak membantu agama berkembang malah akan menimbulkan kebencian pada Islam.

Cara berhemah

“Ahli PAS harus berusaha mendekatkan diri dengan golongan ini dengan cara berhemah dan Islam supaya mereka terpegun dengan keindahan Islam dengan bagaimana orang PAS membawa dirinya ke mana-mana,” katanya.

Beliau menambah, jika ahli PAS berhujah/bertindak seperti sebilangan NGO Melayu… percayalah, Islam bukan sahaja ditakuti malah dibenci.

Sebagai sebuah jamaah Islam, PAS perlu memperkasakan tarbiyah untuk semua ahli parti bagi menjadikan parti sebagai parti pilihan bagi menggantikan Umno dengan membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan PAS.

Tuan Ibrahim juga bercakap mengenai usaha PAS untuk menjadi sebuah parti bersifat nasional sesuai dengan perkembangan politik semasa.

Katanya, PAS perlu menghindari tindak tanduk Umno dan Perkasa jika PAS ingin menjadi sebuah parti nasional sebagai parti Islam yang menjaga umat manusia sejagat dengan adil dan saksama.

Difitnah Umno dan BN

Beliau berkata, perjuangan Islam PAS telah dicerca, dipersendakan dan difitnah Umno dan Barisan Nasional (BN) di depan masyarakat, khususnya yang bukan Islam selama 50 tahun sebelum tsunami politik berlaku pada Mac 2008.

“Sehingga hari ini, permainan mencerca PAS dan perjuangannya masih diteruskan oleh BN terutamanya MCA dan Umno,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, beliau bertanding jawatan timbalan presiden PAS bukanlah untuk merapatkan hubungan antara Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, hubungan mereka berdua sangat baik, kukuh dan erat secara peribadi.

“Saya hanya kebetulan mempunyai pertalian keluarga dengan Tuan Guru Murshidul Am, tetapi adalah jauh meleset sekali sekiranya ada pihak yang beranggapan hubungan mereka memerlukan saya.

“Mereka sentiasa bertemu bagi membincangkan masalah parti,” tambahnya.


Muda Mohd. Noor FMT

No comments:

Post a Comment