Tuesday, May 31, 2011

Harakah dan impian kuasai Putrajaya

Teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13 timbul lagi. Memang begitulah. Melepasi tempoh tiga tahun penggal Parlimen, selalunya ramalan dan jangkaan tarikh pilihan raya hangat dibincangkan. Bualan mengenainya heboh diperkatakan terutama selepas memerhati gelagat Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak untuk mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terbaru, ramai menyebut Julai ini, hanya sekitar dua bulan lagi. Nampak macam begitu tergesa-gesa. Saya sendiri agak payah mencari rasionalnya. Tidak mudah BN menghadapi pilihan raya dalam suasana sekarang. PRU13 adalah hidup-mati buat Najib dan BN. Juga sama penting kepada Pakatan Rakyat. Pertarungan ini perlu persiapan rapi dari segi taktik, strategi dan logistik. Di samping faktor kekuatan, kecenderungan mengundi juga dipengaruhi oleh "siapa yang paling sedikit melakukan kesilapan"?

Apakah Najib Razak, yang pertama kali bakal memimpin BN dalam pilihan raya paling sengit pernah disaksikan di negara ini, yakin bahawa momentum Mac 2008 sudah dimatikan? Mampukah dia mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menebus maruah di negeri-negeri Pakatan? Sukar dipastikan apakah petunjuk yang dipegang Najib? Selain itu, dan ini di antara yang terpenting buat jentera BN, bagaimana dengan kantung dana politiknya, yang akan digunakan untuk membeli undi nanti?

Umno juga sering dihantui perpecahan dalaman apabila calon-calon pilihan rayanya dipilih. Begitu juga dengan prestasi merudum komponen BN, yang belum dapat dipulihkan lagi, khususnya parti-parti berasaskan kaum Cina. Pakatan wajar meneliti apakah benar amarah pengundi India terhadap BN sudah diubati?

Selain itu, "peperangan" merebut hati pengundi Melayu tidak seharusnya dibebankan kepada PAS semata-mata. Imej Pakatan di kalangan Melayu -- jika terdapat "gangguan" -- mesti dijernihkan secara bersepadu. Persepsi pengundi jangan diremehkan. Banyak perkara yang bersarang dalam kepala pengundi (sebahagiannya nampak seperti mudah ditepis) harus ditangani dan diperbetulkan.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, selain membayangkan kemungkinan tarikh PRU13 berlegar di antara hujung Ogos sehingga Oktober, turut menekankan soal "pertarungan sebenar adalah di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya adalah Melayu".

"Ya, itu satu cabaran dan kita mungkin masih belum melakukannya dengan mencukupi (memberi tumpuan kawasan Melayu). Tetapi kami akan ke akar umbi dan Umno menyedari ini," kata Anwar apabila diwawancara Malaysiakini.

Melaka dan Johor, secara tradisionalnya dianggap kubu BN dan diperkukuhkan baru-baru ini dengan 'mengharamkan' Anwar daripada berceramah di negeri-negeri berkenaan.

"Saya gagal mendapatkan satu permit (polis) pun sekarang untuk berceramah di Johor, kecuali jika ia jamuan makan dengan orang Cina -- ini tidak boleh diterima. Jadi dalam kes ini, Melayu didiskriminasi tetapi Cina tidak," kata Anwar.

Lebih merimaskan adalah manipulasi BN terhadap senarai daftar pemilih. Melalui kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga pihak polis, komplot terancang menjatuhkan Pakatan terlaksana lebih awal sebelum hari mengundi. Berulang kali Harakah membongkar taktik kotor ini, terutama di Selangor dan dipercayai ia juga mensasarkan Kedah. Kelantan turut dimasukkan dalam agenda.

Soalnya, apakah dengan siri pendedahan itu membuatkan konspirasi ini terbantut, ataupun mereka "hanya memekakkan telinga dan buat bodoh sahaja" serta meneruskan tipu-muslihat tanpa segan-silu? Cukupkah satu dua bantahan dibuat kepada SPR, apatah lagi kos hangus yang terpaksa ditanggung cukup besar?

Atau, apa yang kita harapkan dengan perhimpunan raksasa Bersih, 9 Julai depan? Sejauh mana empat tuntutan asas pilihan raya bersih dan adil itu, yang ditambah dua lagi, akan dipenuhi sebelum Parlimen dibubarkan?

Sebagai warga media, saya lebih terdorong untuk memikir dan merencanakan persiapan terbaik Harakah berdepan kempen PRU13 ini. Selain membekalkan maklumat semasa, menjelaskan kekeliruan, mempamerkan perubahan kerajaan negeri Pakatan atau mendedahkan kebobrokan elit penguasa BN, bagi pembaca tertentu, Harakah harus lebih "beremosi" dan mampu "menginspirasikan" transformasi.

Begitu juga dengan tugas sukar membetulkan persepsi, terutama bagi masyarakat Melayu di kampung-kampung, yang berada di luar wilayah tradisi PAS. Harakah dituntut untuk membongkar komplot jahat BN, memerangi penyakit korupsi yang bertambah kompleks dan sukar dikesan undang-undang, tanpa melupai tawaran formula penyelesaian, mengubati krisis sosial, merawati keluh-kesah kenaikan kos sara hidup dan menguruskan secara berhemah khazanah negara; tentunya tidak sekadar membutirkan kembali dokumen Buku Jingga.

Berbanding PRU Mac 2008, kekerapan Harakah hanya dua kali sebulan. Apabila Parlimen dibubarkan, kami terpaksa menerbitkan akhbar tidak berkala, Kempen dan menambahkan halaman Harakah bagi menampung bahan-bahan yang melimpah, termasuk manifesto dan senarai calon. Peningkatan muka surat bermakna penambahan kos cetak.

Agak beruntung waktu itu, tempoh berkempen agak lama, lebih kurang dua minggu. Kuasa siber juga cukup dominan, terutama YouTube, blog dan laman-laman web, menjadikan pengundi selesa mendapatkan informasi daripada dalam bilik tidur sahaja!

Kini, cabaran terbesar Harakah -- selain mempertingkatkan kandungan dan persembahannya bagi menambat hati pembaca -- jumlah edarannya juga mesti dilipatgandakan sebelum tarikh pilihan raya ditentukan. Alhamdulillah, kekerapannya telah dikembalikan kepada dua kali seminggu. Mungkin target 350,000 naskhah seperti dicatatkan menjelang pilihan raya umum 1999 cukup tinggi untuk digapai, tetapi sekurang-kurangnya setiap pelosok dan ceruk rantau harus ditembusi Harakah.

Berdasarkan respons pembaca dan tinjauan rambang, edaran Harakah masih terbatas. Malah terdapat rungutan bahawa pimpinan dan aktivis PAS sendiri seperti tidak memberi sokongan sepenuhnya kepada Harakah. Lidah rasmi parti itu hanya berkembang atas kehendak pasaran, tidak didokong oleh pelan pemasaran yang lebih agresif. Harus diingat sekatan KDN tetap membelenggunya.

Justeru, ada pihak mencadangkan agar kempen meningkatkan pengedaran Harakah disegerakan. Beberapa syor untuk "memasyarakatkan" Harakah telah dikemukakan, termasuk dalam kolum Wacana Budaya Dinsman, dengan mencari dermawan bagi mengagihkannya secara percuma, selain sokongan terbuka pimpinan tertinggi PAS sendiri. Jika Utusan Malaysia (yang kerap menyiarkan "bahan lucah") itu pun diedarkan secara meluas ke sekolah-sekolah melalui penajaan khas, mengapa Harakah harus bersikap apolegetik.

Sebagai permulaan saya menggagahkan diri mengunjungi pimpinan PAS di peringkat negeri, sekurang-kurangnya mendengar sendiri harapan dan mungkin kekecewaan mereka terhadap Harakah. Berbanding KeADILan dan DAP, tumpuan PAS mungkin lebih difokuskan di peringkat Dun. Berdasarkan pengagihan kerusi dalam pilihan raya Mac 2008, hampir di semua negeri, PAS diberi kepercayaaan untuk bertanding paling kerusi negeri.

Di samping mengharapkan ada inisiatif segera mempergiatkan rangkaian jualan Harakah, seterusnya memastikan setiap pengundi mendapat maklumat dan penjelasan, sama ada melalui akhbar bercetak atau versi online, kami di bahagian editorial bertekad untuk memastikan satu lagi sejarah baru politik Malaysia bakal terbentuk dalam PRU13, insya-Allah.

Namun begitu, ingatan seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya elok untuk direnung: "Saya kira, Pakatan Rakyat jangan ghairah sangat sebut hendak tawan Putrajaya atau lantang bercakap menambah bilangan negeri untuk dikuasainya, atau terlalu asyik membincangkan hal pilihan raya. Bukan semua rakyat suka dengan teka-teki tarikh PRU13 ini. Mereka lebih prihatin dengan masalah seharian yang bertindan-tindih, dan mahu segera diselesaikan, termasuk di negeri-negeri Pakatan."


Ahmad Lutfi Othman Harakahdaily

No comments:

Post a Comment