Wednesday, May 18, 2011

PR tetap teruskan sesi penerangan

GOMBAK 17 MEI : Pakatan Rakyat akan mempelbagaikan cara untuk memastikan rakyat memperolehi maklumat tepat yang ingin disampaikan kepimpinan parti itu walapun sering dihalang polis.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, sesi penerangan yang dianjurkan gabungan parti itu merupakan platform utama penyaluran fakta kepada rakyat setelah media arus perdana dikawal oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau yang ditemui Tv Selangor petang tadi menyifatkan rakyat berhak untuk dibekalkan dengan informasi selain daripada kerajaan seraya memberi ruang menilai dasar-dasar yang relevan untuk diterima pakai.

"Ini menunjukkan Umno cukup goyah sekiranya rakyat mendapat maklumat kerana apabila rakyat diberikan maklumat dan fakta, pastinya rakyat akan yakin dengan Pakatan dan akan menolak Umno-BN," jelasnya.

Azmin diminta mengulas tindakan dwi standard pihak polis menyekat pengeluaran permit perhimpunan awam dalam program anjuran Pakatan Rakyat apabila mendapati beliau dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim diundang memberi ucapan.

Ini termasuk melakukan sekatan jalan raya selain mengumpulkan Unit Simpanan Khas (FRU) untuk berkawal di lokasi-lokasi ceramah gabungan parti itu.

Turut dikesali provokasi yang dilakukan pihak polis sehingga mengakibatkan pertempuran kecil di antara pengunjung-pengunjung dan FRU ketika Anwar hadir ke sesi penerangan di Taman Melawati Mac lalu.

"Maka Umno terpaksa menggunakan jentera kerajaan termasuk polis bagi menghalang usaha-usaha dan program penerangan yang dianjurkan Pakatan Rakyat," tambah beliau.

Dalam pada itu Azmin yang turut hadir ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mengumumkan keputusan memanggil Anwar untuk membela diri bersabit tuduhan kes fitnah liwat dua berkata, sistem kehakiman semakin dipandang remeh oleh rakyat.

Ini berikutan katanya, jangkaan rakyat terhadap keputusan hakim ternyata tidak meleset walaupun jelas kes itu tidak kukuh dimata umum untuk mensabitkan Anwar dengan tuduhan.

"Tetapi pokoknya, apabila umum (rakyat) telah menjangkakan sesuatu keputusan daripada mahkamah, ini adalah satu perkara yang tidak sihat.

"Jelas menunjukkan rakyat tidak lagi yakin kepada badan kehakiman di Malaysia dan ini akan memberi kesan parah kepada negara Malaysia termasuk dalam isu pelaburan dan ekonomi masa akan datang kerana sistem kehakiman sudah dipertikaikan oleh rakyat," ujarnya lagi.

Justeru Azmin menggambarkan seolah-olah hakim telah menghukum Ketua Pembangkang itu dengan mengatakan pengadu Saiful Bukhari Adzlan sebagai saksi yang berwibawa sebelum mendengar hujah daripada pihak pembelaan.

Mahkamah menetapkan 6 hingga 30 Jun sebagai tempoh Anwar dipanggil untuk membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Ditulis oleh Hadri Abu Yaziz tvsnews

No comments:

Post a Comment