Wednesday, November 10, 2010

Taib dah mengaku dah, SPRM masih buat bodo lagi?

Pengakuan Taib Bukti Kukuh Kekayaan di Luar Negara

SHAH ALAM 10 NOV : Petikan ucapan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengaku mempunyai 'kekayaan lebih banyak daripada yang dapat beliau belanjakan' kepada pengundi Sibu semasa pilihanraya kecil Sibu Mei lalu adalah bukti kekayaan Ketua Menteri Sarawak itu.



Bagi pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata, kenyataan Taib yang menyatakan beliau mempunyai kekayaan yang amat besar di luar negara yang cukup untuk membiayai projek pembangunan di bandar Sibu merupakan satu pengakuan yang cukup jelas kewujudan kekayaan dan harta seperti yang diuar-uarkan oleh portal berita sarawakreport.com selama ini adalah benar.

"Banyak duit dan dia mengatakan mempunyai lebihan yang boleh diberi kepada rakyat, maka ini satu pengesahan bahawa benarlah dakwaan dalam artikel-artikel seperti yang disiarkan dalam sarawakreport.com bahawa dia (Taib) memiliki banyak harta benda di luar negeri," jelas beliau.

Katanya lagi, sekiranya ucapan Taib dapat dibuktikan sah maka tindakan harus diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pada pendapat beliau, harta tersebut hasil wang korupsi (corruption money) dan perlu disiasat di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

"Bagi saya ini merupakan bukti kukuh mendedahkan bahawa Taib sememangnya telah mencuri harta benda rakyat Sarawak, beliau mempunyai terlalu banyak wang dan tidak boleh menghabiskannya," kata beliau.

Jelas beliau, ini juga membuktikan politik pembangunan yang cuba dipergunakan oleh Taib telah gagal sama sekali.

"Kenapa hanya sekarang selepas 30 tahun baru dia sedar bahawa ramai rakyat Sarawak miskin? Di mana kesan politik pembangunan seperti yang diuar-uarkan dan diterangkan selama ini selepas sekian lama berlalu?" tegas Baru lagi.

Beliau berharap rakyat Sarawak tidak ditipu sekali lagi dalam pilihanraya akan datang dan membuat pilihan yang tepat iaitu menukar kerajaan Taib kerana beliau percaya Taib adalah punca segala kemiskinan dan juga keadaan daif rakyat Sarawak yang terpaksa mengharunig kehidupan harian yang sukar dan mencabar.

"Walaupun kita adalah satu negeri yang terkaya di Malaysia tetapi kini berada ketiga dari bawah, ketiga termiskin di Malaysia, maka dalam pilihanraya akan datang kita harus membuat satu transformasi untuk menukar kepimpinan di Sarawak dan mengambil kepimpinan yang baru, yang bersih dari penyelewengan dan telus," kata beliau lagi.

Posted by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment