Membersihkan dosa - Mengerjakan ibadah Haji merupakan kesempatan untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Allah subhanahu wa Ta'ala. Malah ibadah haji itu sendiri jika dikerjakan dengan sempurna tidak dicampuri dengan perbuatan-perbuatan keji maka Allah subhanahu wa Ta'ala akan mengampunkan dosa-dosanya sehingga ia suci bersih seperti baru lahir ke dunia ini.
Taib leaves for pilgrimage to Mecca |
Rasulullah sallAllahu'alaihi wa sallam bersabda : "Barangsiapa yang melakukan ibadah Haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya." (Bukhari Muslim)
Firman Allah subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud : Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali 'Imran ayat 185)
Haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri dengan dosa-dosa. Ini bermaksud bahawa kebajikan Haji yang diperoleh mereka yang melakukannya telah membentengi diri mereka daripada maksiat dan dosa. Orang yang mendapat Haji mabrur akan semakin kuat imannya serta makin meningkat amal ibadatnya.
Dalam hubungan ini Rasulullah sallAllahu'alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud : “Daripada umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Peristiwa penting yang sewajarnya disedari oleh para tamu Allah subhanahu wa Ta'ala di tanah suci Mekah ialah bahawa pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah itulah Nabi sallAllahu'alaihi wa sallam menyampaikan khutbah akhirnya atau khutbah selamat tinggalnya kepada umat yang dicintainya.
Hayatilah khutbah penutup Nabi sallAllahu'alaihi wa sallam ini.
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui adakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba; oleh itu segala urusan yang melibatkan riba kamu batalkanlah dari sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar; maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka pun berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah bahawa mereka sama sekali tidak boleh memberi masuk orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah dalam bulan Ramadan, dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak ada seorang pun yang lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awaslah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata yang telah aku sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
Hendaklah orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain; semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang langsung mendengarnya daripadaku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah kusampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-MU.
[Salawat dan salam ke atas Nabi sallAllahu'alaihi wa sallam yang kita cintai]