Wednesday, September 22, 2010

Tanah KTMB RM400 juta, dijual dengan harga RM50 juta

Isu terbaru berhubung penjualan tanah yang sangat berharga milik Keretapi Tanah Melayu (KTMB) menerima kritikan pedas daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata tanah seluas lapan hektar itu di belakang ibu pejabat Unilever di Jalan Bangsar mempunyai nilai pasaran RM400 juta telah dijual dengan harga terlalu rendah, hanya RM50 juta kepada Pelaburan Hartanah Bhd (PHB).

PHB merupakan anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, yang ditubuhkan pada 2006 untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.

Nurul Izzah, yang juga timbalan ketua PKR Wilayah Persekutuan mempersoal sama ada hartanah yang akan dibangunkan di atas tanah itu nanti akhirnya dijual kepada Bumiputera dengan diskaun yang tinggi.

"Siapa yang akan menerima faedah dari diskaun 80% yang dinikmati oleh PHB?" soal beliau. "Adakah para pemaju atau diskaun itu disalurkan kepada rakyat apabila mereka ingin menyewa atau membeli hartanah tersebut?" katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau juga ingin tahu sama ada PHB akan menghadkan pertukaran hak milik supaya hartanah itu kekal di tangan Bumiputera.

"Selain itu, bolehkah tanah milik kerajaan dan institusi digunakan untuk menambah kekayaan beberapa individu? Saya berharap dasar hartanah Bumiputera tidak dimanipulasi sepertimana yang terjadi dalam modus operandi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)," ujar beliau.

Tanah itu boleh membawa hasil kepada KTMB

Nurul Izzah berkata, tanah itu boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan yang berterusan (recurring income) kepada KTMB. KTMB boleh membangunkan tanah itu dan memiliki syer ekuiti hasil dari pembangunan itu.

"Hasil dari sewa hartanah itu sendiri boleh menyediakan pendapatan yang berterusan untuk KTMB. Beginilah caranya perkhidmatan MRT di Hong Kong, Singapura dan keretapi bawah tanah di London dapat mengekalkan perkhidmatan mereka untuk faedah orang ramai.

"Hasilnya, bukan sahaja boleh mendatangkan keuntungan kepada KTMB tetapi juga mengurangkan kadar harga tiket dan menyediakan perkhidmatan yang lebih efisyen kepada rakyat."

Merujuk kepada tanah KTMB di Tanjung Pagar, beliau berkata, urusniaga ini menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak terjawab dan merupakan satu bentuk subsidi secara terus kepada golongan minoriti.

Sambil mengharapkan bahawa dakwaannya adalah salah, Nurul Izzah berjanji bahawa beliau akan memantau perkembangan ini secepat dekat untuk memastikan rakyat mendapat jaminan ketelusan dan kebertanggungjawaban daripada kerajaan.

"Saya juga akan mencadangkan supaya dibentuk sebuah kautus yang bebas pada sidang parlimen yang akan datang untuk memantau dasar-dasar melibatkan Bumiputera.

"Kaukus ini mampu menyediakan laporan tahunan mengenai keputusan dan senarai penerima faedahnya untuk pengetahuan rakyat," tambahnya. - FMT

BO

No comments:

Post a Comment