Thursday, May 7, 2009

Musa Hassan : Polis Tangkap Sesiapa Yang Pakai Kemeja Hitam


Polis memberi amaran akan menahan sesiapa saja yang berpakaian hitam di Ipoh sebagai membantah pencabulan demokrasi sempena dengan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak mulai esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis telah memperolehi perintah mahkamah untuk menahan sesiapa yang menghampiri 500 meter daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang menempatkan DUN Perak, menurut Malaysiakini.

Amaran beliau menyusul sehari selepas polis menahan jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat bagi siasatan bawah Akta Hasutan.

Wong ditahan reman tiga hari setelah beliau menggesa orang ramai memakai kemeja hitam sebagai bantahan simbolik terhadap apa yang disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai pencabulan demokrasi oleh Barisan Nasional di Perak.

BN bertindak mengadakan sidang DUN itu tanpa menunggu keputusan Mahkamah Tinggi untuk memutuskan samada Zambry Kadir dari UMNO adalah Menteri Besar sah di sisi perlembagaan Perak.

Zambry sebelum ini gagal mendapatkan perisytiharan Mahkamah Persekutuan bahawa beliau adalah ketua kerajaan negeri yang sah dan bukan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Ratusan anggota polis termasuk polis anti rusuhan di kerah ke Ipoh bagi memastikan sidang DUN itu dijalankan supaya usul BN untuk memecat Speaker V. Sivakumar dapat dilaksanakan.

Tan Sri Musa berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menahan sesiapa yang cuba membuat bantahan terhadap sidang DUN berkenaan.

artikel asal : TVAntara

No comments:

Post a Comment