SHAH ALAM 2 MEI : Keterbukaan dalam pentadbiran yang ditonjolkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukan bererti parti itu dengan sewenang-wenangnya mudah dirunding untuk beralih arah menyertai Umno-Barisan Nasional, kata ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.
Justeru naib presiden PAS itu mengingatkan Umno-Barisan Nasional agar tahu membezakan soal urus tadbir kerajaan yang dipimpin pemimpin PAS dan juga ketegasan perjuangan dalam parti yang dipegang teguh sejak sekian lama.
"Harus dibezakan antara isu PAS-Umno dan isu soal urus tadbir kerajaan, dalam pengurusan kerajaan negeri sememangnya menuntut seseorang Menteri Besar bersikap mesra dengan semua orang dan semua pihak,"kata Mahfuz.
"Tetapi dalam hal ketegasan perjuangan berhubung perbezaan parti diizinkan untuk kita berbeza dalam hal-hal politik, jadi tidak perlu Tun Mahathir cuba untuk laga-lagakan pemimpin PAS,"ujarnya lagi.
Terbaru, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji dan menyenangi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak kerana bersikap terbuka walaupun berbeza fahaman politik.
Selain itu, Mahathir juga dilaporkan memberi gambaran Azizan adalah seorang pemimpin PAS yang boleh dibawa berbincang dalam isu-isu berbangkit berbanding dengan pemimpin PAS yang lain.
Mengulas kenyataan ini, Mahfuz menjelaskan kepimpinan PAS sentiasa bersikap profesional dan sikap terbuka yang dipamerkan oleh Menteri Besar Kedah itu adalah salah satu sikap yang seharusnya ada pada setiap pemimpin untuk berdepan dengan pelbagai pihak dalam urus kelola pentadbirannya.
"Jangan Tun Mahathir ingat senang dibawa berunding itu bermaksud senang PAS untuk menyertai Umno-BN, ianya tidak sama sekali," tegas Mahfuz.
tvsnews
No comments:
Post a Comment