Tuesday, May 3, 2011

Najib ibarat ketam minta PAS berpisah dengan DAP

PAS menganggap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya PAS berpisah dengan DAP seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul kerana parti-parti komponen BN yang diterajuinya sendiri tidak sehaluan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (kanan, berketayap) berkata, selaku pengerusi BN, Najib perlu menyelesaikan masalah dalaman di kalangan komponen BN dahulu.

“Jangan cuba mengalih isu yang sedang melanda BN dengan rakan komponen BN mengenai isu 1Melayu 1Bumi telah menimbulkan kemarahan MCA.

“Apa sudah jadi slogan 1Malaysia tiba-tiba lahir pula gagasan 1Melayu 1Bumi, seolah-olah Umno menduakan suami,” katanya dalam satu kenyataan.

Idris mengulas saranan Najib suapaya PAS menjauhkan diri dengan DAP atas alasan PAS bertungkus lumus tetapi yang menang ialah DAP dan parti Islam itu perlu berpisah dengan DAP kerana PAS tidak boleh melaksanakan agenda Islam.

“PAS hendak bertanya sejak bila pula Umno iktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam,” katanya.

Menurut Idris, dengan kenyataan Najib sahlah teori yang mengatakan Umno akan bercakap Islam dan Melayu ketika orang Melayu menolak Umno.

“Ketika rakyat tolak Umno, baru mereka sedar, PAS parti orang Melayu. Selama ini merekalah membunuh kontraktor dan ahli perniagaan PAS, berapa ramai aktivis PAS diletakkan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya lagi.

Menurut Idris mangsa terbaru adalah Cikgu Maaruf Mutalib, suami Cikgu Normala bekas calon PAS di Tenang yang diarahkan berpindah sekolah.

“Siapa punya angkara?” soalnya.

Menurutnya, apabila lemas kerana pelampong Umno, iaitu pengundi bukan Melayu, sekarang sudah meninggal mereka, baru mereka teringat kepada PAS.

PAS, ujarnya hendak mengingatkan Najib bahawa mereka membayar harga begitu mahal untuk berada bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, kejayaan PAS yang menjinakkan orang bukan Islam kepada Islam satu imbuhan yang cukup berharga.

“Hendak harap kepada Umno memberi kefahaman Islam kepada orang bukan Islam di negara ini amat jauh sekali,” ujarnya.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment