Perebutan kerusi timbalan presiden PAS dilihat akan lebih mendebarkan sekiranya Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berubah fikiran dengan turut bertanding dalam pemilihan kali ini.
Menurut pemerhati politik, sekiranya perkara itu jika berlaku hampir pasti menyebabkan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara Mohamad, Tuan Ibrahim dan penyandangnya Nasharudin Mat Isa.
"Mohamad tidak akan berkompromi dengan sesiapapun. Mohamad tidak akan tarik diri. Tuan Ibrahim atau Nasharudin yang sepatutnya berkompromi," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama, ujian sebenar bagi Mohamad apabila beliau dilihat tidak lagi relevan dengan penyertaan Tuan Ibrahim.
"Mereka (kawasan) kemukakan (pencalonan kepada) Tuan Ibrahim sebab tidak berpuashati dengan Nasharudin," katanya.
"Jadi Mohamad relevan bertanding sebab hendak menyingkirkan Nasharudin. Tetapi jika Nasharudin menarik diri, (dan) Tuan Ibrahim bertanding, status Mohamad sudah tidak relevan."
Jika Tuan Ibrahim tidak mahu menawarkan diri, Mohamad mempunyai peluang cerah untuk memenangi jawatan itu.
Majoriti sokongan kepada Tuan Ibrahim dilihat akan berpindah kepada Mohamad jika tokoh ulama itu tetap dengan pendiriannya sebelum ini untuk tidak bertanding.
Desakan berterusan
Dalam pemilihan dua tahun lalu, Mohamad dalam percubaan pertamanya tewas dalam pertembungan tiga penjuru.
Nasharudin menang dengan memperolehi 480 undi. Manakala Husam mendapat 281 undi, sementara Mohamad meraih 261 undi.
Nasharudin yang juga ahli parlimen Bachok menang disebabkan wujudnya pecah undi antara Husam dan Mohamad.
Setakat ini hanya Mohamad dan Nasharudin telah mengumumkan pendirian mereka bertanding jawatan berkenaan.
Tuan Ibrahim pula telah menolaknya dan hanya mahu mempertahan jawatan yang disandangnya.
Bagaimanapun, terdapat desakan berterusan daripada anggota akar umbi yang mahukannya turut serta.
Kesemua pihak dikehendaki membuat pengesahan sebelum 26 Mei ini. Seramai enam mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan itu.
Selain tiga pemimpin itu, turut layak Menteri Besar Kedan Datuk Seri Azizan Razak, Naib Presiden Salahudin Ayub dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa.
Abdul Rahim Sabri malaysiakini
No comments:
Post a Comment