SHAH ALAM 11 MEI : Kementerian Dalam Negeri digesa menyoal siasat blogger pro- UMNO, yang bertanggungjawab menimbulkan kontroversi agama kononnya terdapat usaha mahu menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara.
Menterinya, Hishammudin Tun Hussien sebelum ini berkata pihaknya akan membuat siasatan berhubung perkara itu, namun sehingga kini penulis blog 'Marahku' dan 'BigDog' masih belum dipanggil untuk sebarang siasatan.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata siasatan bersabit dakwaan itu harus segera dilakukan bagi menjamin keharmonian kaum.
“Bila orang yang mengeluarkan blog itu blogger itu yang mulakan mengeluarkan berita yang palsu tidak dipanggil tetapi dipanggil adalah orang yang dihina,” kata Jui Meng.
Jui Meng menyifatkan, tindak tanduk Hishammudin dan KDN dalam menangani isu ini menggambarkan betapa terdesaknya kerajaan persekutuan menimbulkan rasa cemas dikalangan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Ini untuk menaikkan kemarahan orang Melayu di kampung lah, orang bandar tahu ini tidak benar punya tetapi di luar bandar yang mana tidak ada internet mereka didedahkan dengan apa itu daripada media Umno khasnya Utusan Malaysia," katanya lagi.
Blogger pro- UMNO itu sebelum ini mencemaskan banyak pihak apabila mendakwa sekumpulan paderi sedang berusaha untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara sekaligus membolehkan perdana menteri dilantik dikalangan mereka yang beragama Kristian.
“Ini akan mengakibatkan mereka naik marah terhadap orang Kristian tetapi saya percaya mereka kalau benar- benar dapat berita yang betul mereka akan marah Umno sebaliknya,” katanya.
Pendedahan berbaur rasis itu diceduk akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia dimuka surat hadapan, tanpa melakukan sebarang siasatan atau paling kurang pengesahan daripada pihak yang dituduh.
Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia adalah pembohongan.
Dakwaan itu turut mengheret nama Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan parti kompenan Pakatan rakyat, DAP.
Bagaimanapun, DAP bingkas menafikan pembabitannya dalam usaha seumpama itu.
Dalam pada itu, sebuah blog pro- Umno, 'Papa Gomo' mengecam pendedahan provokasi yang dibuat blogger “Bigdog” atau nama sebenarnya, Zakir Mohammed.
'Papa Gomo' menerusi entri “Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan”Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.
“Tiada asas kukuh untuk sabitkan dakwaan mahu jadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Secara logik mustahil pihak Kristian boleh berikrar secara terbuka dalam hal ini," kata penulis blog Papa Gomo.
Justeru “Papa Gomo” menyarankan agar kerajaan memandang serius laporan palsu yang dikeluarkan blog “Bigdog” kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara agama.
Penulis itu juga menyarankan agar penulis "Bigdog” ditahan di bawah akta ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.
“Jika blog Bigdog terbukti menyebarkan fitnah sehingga menggugat keselamatan negara adalah satu kewajaran untuk Bigdog ditahan di bawah ISA," ujar penulis blog itu lagi.
Ditulis oleh ZeanaAima tvsnews
No comments:
Post a Comment