Datuk Seri Hishammuddin Hussein diminta bertindak tegas terhadap “laporan palsu” Utusan — gambar fail. |
Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.
Kata Lim, dua wakil rakyat Umno yang turut menyokong usul itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Hilmi Yahya dan Adun Pulau Betong Muhammad Faris Saad ketika sidang DUN semalam.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang secara rasmi meminta YB Menteri untuk mengambil tindakan tegas dan membantah laporan palsu serta fitnah seperti yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia pada 7 Mei 2011 yang melaporkan wujud konspirasi antara DAP dan paderi Kristian di Pulau Pinang untuk membentuk negara Kristian dan melantik perdana menteri Kristian,” kata beliau dalam surat rasmi yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Tambah Lim, tindakan yang diambil Hilmi dan Muhammad Faris membuktikan secara jelas bahawa akhbar milik Umno itu mengeluarkan laporan yang tidak benar dan bersifat hasutan.
Beliau juga menggesa Putrajaya menuntut Utusan Malaysia membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menyiarkan laporan “palsu dan berniat jahat” serta mengambil tindakan kepada semua individu yang terlibat.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang percaya akan kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar sebagai asas dalam hak-hak asasi dan demokrasi.
“Bagaimanapun kebebasan ini tidak membenarkan anda mencetak sebarang bentuk laporan tidak benar. Laporan palsu ini dibuat dengan niat jahat dan boleh membangkitkan sensitiviti melalui sentimen yang sempit dan melampau,” katanya.
Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” itu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.
Akhbar itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.
Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu “pembohongan yang bahaya.”
Lim juga mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia yang tidak mahu menarik balik laporan itu secara sukarela.
“Dengan tidak menarik balik dan meminta maaf, Utusan Malaysia terus memainkan isu itu. “Sekarang laporan palsu ini telah tersebar dan ia akan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” katanya.
Sebagai contoh, Lim merujuk kepada demontrasi yang dilakukan Pemuda Umno yang membantah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mencadangkan laluan bebas tol dari Jalan Bagan 29 hingga Jalan Siram.
Ketika demonstrasi itu, Lim berkata “bahasa kasar” telah digunakan dengan menuduh beliau terlibat dengan konspirasi tersebut.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak membuat sebarang laporan polis terhadap peserta demonstrasi itu kerana ia merupakan kebebasan bersuara.
“Bagaimanapun ia salah apabila Pemuda Umno Pulau Pinang mengadakan demonstrasi mengkritik dengan menggunakan bahasa kasar dengan menuduh ketua menteri terlibat dalam konspirasi Kristian itu, ia tidak berasas.
“Demonstrasi itu diadakan atas alasan yang tidak benar dan tidak demokratik tapi ia bahaya dan boleh jejaskan kestabilan negara,” katanya.
Oleh Clara Chooi TMI
No comments:
Post a Comment