SELAYANG, 15 Mei : Umno BN sudah hilang rasa hormat terhadap majlis-majlis agama kerana keghairahan mereka mengaibkan dan menjatuhkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara ini terbukti apabila Umno mengedarkan video cakera padat (VCD) seks yang dituduh kononnya pelakunya ialah Anwar di setiap program PKR termasuk di program ‘Munajat Rakyat Menolak Fitnah’ bersama ulama besar dunia, Dr Sheikh Wahbah az-Zuhaily dari Syria, di Stadium Selayang malam tadi.
Anwar dalam ceramahnya berkata, Umno BN sudah membuktikan bahawa mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkannya dan mengekalkan kuasa mereka termasuk 'merampas' semula Selangor.
"Di setiap program solat hajat, ceramah saya, Umno edar video lucah. Apa Umno tak ada kerja lain selain nak 'membogelkan saya'?" soalnya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin yang hadir.
Terdahulu, program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli dengan tazkirah maghrib bertajuk Qazaf dan Sumpah Laknat – ‘Antara Syariat dan Adat’ yang disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abd Ghani Shamsudin.
Program diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat hajat dipimpin Dr Sheikh Wahbah sendiri.
Dr Sheikh Wahbah dalam ceramahnya selepas itu berpesan kepada hadirin agar istiqamah dalam berdoa dan menetapkan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya jika kita menurut permintaan-Nya dan beriman dengan penuh keikhlasan.
Anwar dalam ceramahnya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Sheikh Wahbah yang sanggup datang dari Syria semata-mata untuk bersama-sama rakyat bermunajat menolak fitnah Umno BN.
Beliau berkata, dalam pada Umno BN bercakap soal moral dan akhlak pemimpin, mereka sendiri tidak menjaga adab dan akhlak sehingga sanggup mengaibkan orang lain.
"Pemimpin Umno nak cakap soal akhlak dengan kita? Apa hukumnya sebar video lucah kepada umum?
"Tidak cukup saya dipukul separuh mampus dalam penjara, dibogelkan, sekarang saya dikaitkan dengan video lucah pula.
"Saya nak tegaskan, yang boleh jatuhkan saya bukan Umno, bukan BN tapi dengan kuasa rakyat dengan izin Allah," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.
Kerja Umno edar VCD, tak selesai masalah rakyat
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut menyampaikan ceramah meluahkan kekecawaan terhadap penyebaran VCD itu.
"Satu perkara yang sangat menyakitkan hati saya, apabila malam ni masyarakat tak ada kerja lain, diedarkan pulak VCD yang kononnya melibatkan Anwar Ibrahim.
"Ini saya anggap satu kerja bodoh dalam negeri yang kaya," katanya.katanya sambil menunjukkan VCD yang dipegang kepada hadirin yang diedarkan di luar stadium.
Beliau berkata, Umno BN terlalu 'sibuk' menabur fitnah dan meracuni fikiran rakyat sehingga tidak ada masa memikirkan soal ekonomi dan pembangunan negeri itu.
"Petang tadi saya pergi ke Kuala Selangor ada projek terbengkalai yang mana 6,000 mereka yang membeli rumah sudah lebih 15 tahun tak dapat dan kontraktornya lari.
"Saya pergi dan selesaikan dengan pemaju dan pembeli. Ini lebih baik daripada edar VCD ini.
"Umno di Selangor tak boleh selesaikan masalah penduduk, yang boleh buat hanyalah edar VCD bongok ini," katanya disambut gelak tawa hadirin.
Deklarasi Anti-Fitnah turut dibacakan dengan dipimpin oleh Pengerusi Saf Anti Fitnah (SAF), Mohd Azmi Abd Hamid.
Deklarasi daripada 60 NGO tersebut menurut Azmi akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak-pihak tertinggi yang lain.
Turut menyampaikan ceramah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Hazayani Zakaria Harakahdaily
No comments:
Post a Comment