Monday, May 16, 2011

Maqasid Syariah hanya dapat direalisasikan di bawah PR

KUANTAN 16 MEI : Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hanya dengan menukar tampuk pemerintahan sahaja prinsip maqasid syariah dapat dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini.

Hal ini jelasnya, prinsip maqasid syariah itu sendiri membawa maksud kesejahteraan dan keadilan yang sememangnya tidak diaplikasikan di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional hari ini.

"Maqasid syariah ataupun tujuan utama ia adalah untuk menjada kesejahteraan manusia dan alam yang dihuni manusia, persoalan kita adakah keamanan ini boleh dicapai dengan kerajaan yang sedia ada? Di sini saya ingin menegaskan kita perlu menukar kerajaan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat," kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada Siri Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat - seminar maqasid syariah dan masyarakat majmuk di Dewan Sekilau, Galing Kuantan Pahang semalam.

Bahkan ujarnya, prinsip keadilan yang sepatutnya diterapkan dalam kehidupan sesama manusia juga sudah hilang nilainya di negara ini.

Beliau merujuk kepada politik fitnah dan lucah yang membelenggu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kurangnya pegangan agama malah ketandusan esensi maqasid syariah dalam urusan pentadbiran dan kehidupan seharian, antara punca amalan memfintah dan menganiaya pihak lain semakin berleluasa.

"Klip video lucah yang tidak bermoral dari sebuah kerajaan yang tidak bermoral.


"Dalam menjaga maruah individu, prinsip utama dalam maqasid syariah adalah keadilan Islam menjamin keadilan, dalam menjaga agama, maruah, akal ia mesti melalui prinsip keadilan untuk semua," katanya lagi.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga turut memberi contoh kenaikan harga barang yang tidak ditangani oleh kerajaan pusat sehingga membebankan rakyat, sebaliknya lebih gemar pula bermain politik lucah dan membangkitkan sentimen rakyat.

"Tuan-tuan boleh menuntut keadilan kalau sekiranya pentadbiran itu adil yang diurus oleh kerajaan yang adil, sistem yang baik, pentadbiran yang adil, tetapi diurus oleh kerajaan yang korup, keadilan tetap tidak dapat ditegakan, oleh itu perubahan mesti dilakukan dan maqasid dapat dilaksanakan,"tegas beliau lagi.

Seminar yang membicarakan esensi maqasid syariah dalam konteks Maslahah (menyejahterakan) masyarakat majmuk selain menyelamatkan daripada kemudaratan khususnya dalam kepimpinan politik sesebuah kerajaan ini dihadiri kira-kira 2,000 peserta dari pelbagai kaum dan agama.

Antara panelis yang turut hadir ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden WADAH, Dr Muhammad Nur Manuty, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan At-Tantawi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden WADAH, Dr Muhammad Nur Manuty berkata insiden provokasi agama tanpa sebarang asas dalam laporan Utusan Malaysia kononya Kristian agama rasmi Malaysia adalah contoh percanggahan esensi maqasid syariah.


"Apabila kelompok Umno yang ekstrem hari ini provok dengan menyatakan orang kristian ingin menjadikan agama itu sebagai agama rasmi persekutuan, maka kita Pakatan Rakyat wajib menentang perkara ini kerana ianya sangat bercanggah," kata Dr Muhammad.

Dalam menuntut sebuah negara yang adil, telus dan bertanggungjawab, Dr Muhammad menjelaskan kesemua itu bakal dikecapi sekiranya sesebuah kerajaan menjadikannya sebagai landasan dalam pentadbiran.

"Maslahah ini adalah untuk melahirkan sebuah kerajaan yang telus, sebuah kerajaan yang merakyat, tidak rasuah, tidak pentingkan diri, adil, membantu orang miskin," jelas beliau lagi.


Ditulis oleh Naeem Raffi tvsnews

No comments:

Post a Comment