KUALA LUMPUR, 12 Mei — Kesal dengan tindakan dua anggota Kabinet, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran mencadangkan usul membantah tindakan kedua-dua menteri itu kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia.
Sidang Parlimen akan berlangsung bulan depan Julai.
Tegas Kulasegaran, sikap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia walaupun laporan yang dikeluarkan salah dan berunsur fitnah disifatkan beliau sebagai tidak bertanggungjawab.
“Hishammuddin dan Rais telah menerima laporan itu tanpa mempersoalkan kesahihan, malah telah memberi amaran kepada rakyat agar tidak mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
“Sepatutnya mereka harus menyiasat segera kesahihan laporan yang berniat jahat dan tidak berasas itu bukannya melakukan siasatan terhadap dakwaan itu, nampaknya mereka bermain politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menyifatkan tindakan Hishammuddin dan Rais mempercayai laporan Utusan Malaysia sebagai tidak rasional.
“Sebagai ahli politik, mereka patut tahu laporan Utusan Malaysia itu berniat jahat dan mengancam keharmonian negara selain bersifat perkauman.
“Oleh itu tiada alasan untuk menerima laporan Utusan Malaysia itu, malah saya percaya mana-mana ahli politik yang rasional mereka sudah pasti tidak akan mempercayai laporan Utusan Malaysia itu.
“Hishammuddin dan Rais harus meminta maaf kerana menerima kesahihan laporan Utusan Malaysia, yang mana usul ini akan dibawa pada pembentangan belanjawan 2012,” katanya.
Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang diterbitkan Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.
Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Kelmarin Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menuntut Hishammuddin dan Rais memohon maaf secara terbuka kerana bersikap lepas tangan terhadap Utusan Malaysia.
Beliau berkata sikap yang diambil Hishammuddin dan Rais dilihat cuba melindungi Utusan Malaysia walaupun akhbar itu mengeluarkan laporan yang berunsur fitnah dan salah.
Selepas pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia, Rais berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.
Rais berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat atau pun yang menyentuh soal hasutan.
Sementara itu, Hishammuddin pula menyifatkan penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, jika benar, adalah sesuatu yang serius.
Katanya, apa juga tindakan dari satu agama akan mengundang reaksi dari penganut agama lain.
Semalam kerajaan negeri Pulau Pinang telah memfailkan satu aduan rasmi mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia ekoran laporan yang mengaitkan DAP dengan konspirasi Kristian.
Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.
Kata Lim, dua wakil rakyat Umno yang turut menyokong usul itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Hilmi Yahya dan Adun Pulau Betong Muhammad Faris Saad ketika sidang DUN kelmarin.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra TMI
No comments:
Post a Comment