Thursday, May 26, 2011

Kepimpinan Nik Aziz patut dicontohi semua kaum

KUALA LUMPUR, 25 Mei : Kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diakui terbaik oleh kaum India dan patut dicontohi oleh semua kaum di negara ini.

Kepimpinan beliau ternyata penuh amanah, prihatin dan berpihak kepada rakyat sehingga menyebabkan semua rakyat Kelantan terutama yang miskin dan memerlukan pembelaan terbela tanpa mengira kaum.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia, AP Raja Retinam (gambar) mengakui, kaum India ternyata amat senang berada di bawah kepimpinan Nik Aziz kerana beliau sentiasa turun padang untuk meninjau segala permasalahan rakyat untuk diselesaikan.

Menurut beliau, selain itu, cara Nik Aziz yang penuh kesederhanaan amat disenangi oleh kaum India dan kaum-kaum lain sehingga menyebabkan beliau amat mudah ditemui dan didekati.

Katanya, kepimpinan Nik Aziz juga ternyata amat berhemah dalam membelanjakan wang kerajaan, sehingga terelak dengan pembaziran, sebaliknya benar-benar untuk kepentingan rakyat.

"Kepimpinan Nik Aziz sejauh yang dilihat oleh kaum India sendiri ternyata amat baik dan amat jauh berbeza berbanding kepimpinan para pemimpin Umno atau BN," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA), di sini, hari ini.

Pada sidang media di ibu pejabat MISA itu, beliau turut hadir untuk bersama para kepimpinan persatuan itu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap diskriminasi yang dilakukan oleh pihak Kerajaan BN mengenai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khususnya terhadap kaum India dan kaum-kaum lain di negara ini.

Menurut Raja Retinam, selain itu, Nik Aziz turut diakui oleh kaum India di Kelantan sebagai pemimpin yang mudah untuk dijumpai kerana tidak banyak protokol yang perlu dilalui untuk menemuinya.

"Malah saya sendiri juga turut mempunyai pengalaman tersendiri dalam hal ini. Untuk berjumpa Tuan Guru Nik Aziz, saya hanya perlu menulis surat dan selepas itu terus dapat menemuinya.

"Amat jauh berbeza kalau nak jumpa Menteri Besar Kerajaan BN. Amat susah. Malah bukan sahaja nak jumpa MB, nak jumpa exco dari Kerajaan BN pun amat susah," katanya.

Berdasarkan pengalaman beliau, bukti kepayahan untuk berjumpa menteri besar yang berada dalam Kerajaan BN, selain terpaksa melalui protokol yang bukan-bukan, mereka juga dimestikan berjumpa dengan pihak MIC terlebih dahulu.

"Kesemua itu melambangkan betapa berbezanya kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz yang menerajui kepimpinan PAS Kelantan berbanding kepimpinan BN.

"Kepimpinan Nik Aziz sememangnya diakui oleh kaum India dan kaum-kaum lain sebagai kerajaan yang benar-benar berpaksikan rakyat," tegasnya.

Disebabkan perubahan itu, beliau yakin Kerajaan PAS Kelantan akan terus bertahan, walaupun Umno BN telah melakukan pelbagai muslihat untuk merampas Kelantan dari PAS.

"Sememangnya ada tanda-tanda PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya di Kelantan, akan terus berjaya kerana perbezaan antara kepimpinan Nik Aziz dan kepimpinan BN sememangnya dapat dirasai sendiri oleh orang ramai termasuk dari kaum India," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini sedar dengan realiti itu dan menyokong PAS atau Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-13 nanti, bagi melakukan perubahan terhadap politik tanah air.


Aziz Muda Harakahdaily

No comments:

Post a Comment