KUCHING, 5 Mei : Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) berpandangan pemilihan barisan kabinet baru Sarawak jelas menampakkan kelemahan BN negeri yang amat ketandusan pemimpin pelapis dari kalangan generasi muda.
Ketuanya, Mohammad Arifiriazul (gambar) berkata, dalam kerancakan pembangunan negeri yang diwar-warkan sebelum ini, tentu sekali pandangan dan pendekatan golongan muda amat diperlukan dalam memastikan kejayaan semua projek pembangunan yang cuba dilaksanakan.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri (KM), Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan BN Sarawak jelas tidak menghargai suara dan peranan penting golongan muda dalam membangunkan negeri bertuah ini.
Malahan, katanya mereka lebih selesa untuk menggunakan kemenangan ‘hebat’ mereka kali ini untuk meneruskan dominasi golongan berkepentingan agar segala penyelewengan hasil negeri dalam mandat yang lepas akan terus didiamkan dan disembunyikan.
“Malah, adalah tidak keterlaluan untuk kita nyatakan di sini bahawa kabinet baru Sarawak ini tidak ubah seperti kabinet boneka KM yang dianggotai oleh para menteri yang ‘loyalists’ dan ‘yes men’ kepada beliau.
“Ini sememangnya satu kerugian besar kepada negeri dan rakyat Sarawak seluruhnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas barisan kabinet baru Kerajaan Sarawak yang baru sahaja diisytiharkan oleh Abdul Taib Mahmud pada 3 Mei lepas.
Katanya, kenyataan KM yang menyebut beliau belum bersedia untuk merombak kabinet negeri adalah satu lagi petanda bahawa janjinya untuk berundur selepas pilihan raya negeri yang lepas hanyalah gimik politik semata-mata.
DPPNS, tambahnya berasa kesal dengan permainan politik kolot KM yang lebih mementingkan kedudukan peribadi sebagai pemimpin tertinggi BN Sarawak tanpa melihat kepada kepentingan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin lain dalam BN untuk berkhidmat, khususnya dari kalangan pemimpin-pemimpin muda.
Bagi Pemuda PAS Sarawak, katanya ini sebenarnya adalah cerminan ketakutan BN Sarawak kepada Kabinet Bayangan PR Sarawak yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berwibawa dan kebanyakannya dari generasi profesional muda Sarawak.
“Pemuda PAS Sarawak ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pejuang rakyat yang bakal beraksi di sidang Dun Sarawak tidak lama lagi.
“Semoga kepercayaan rakyat kepada kita dan Pakatan Rakyat digunakan sepenuhnya untuk menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman selaras dengan ajaran agung Islam,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, tegasnya Pemuda PAS Sarawak akan terus memberi komitmen yang tertinggi dalam memastikan segala kepentingan rakyat Sarawak dibela dan dipertahankan.
Harakahdaily
No comments:
Post a Comment