Thursday, April 21, 2011

Tukar pemimpin bila kalah kurang tepat

Pada hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa bersilih ganti dalam perjuangan PAS - Nik Aziz.
PETALING JAYA : Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan menukar pemimpin dalam parti itu ekoran kekalahan dalam pilihan raya merupakan langkah kurang tepat.

“Pada hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa bersilih ganti dalam perjuangan PAS,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan penganalisis politik Prof Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditukar berikutan kekalahan parti itu di Terengganu pada 2004, beberapa siri pilihan raya kecil dan yang terbaru dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Menurut Nik Aziz, pertukaran dalam PAS hanya akan berlaku sekiranya pemimpin terbabit melanggar syariat Allah.

“Perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, “sememangnya memenangi pilihan raya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihan raya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku sejak PAS ditubuhkan lagi.

“Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar?

Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar?.

“Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah,” jelas beliau.

“Pertama saya ingin menyatakan bahawa Aziz Bari sebagai warganegara Malaysia yang layak mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

“Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihan raya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihan raya.

“Justeru itu, Aziz Bari berhak untuk memberi pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment