Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) cawangan Sarawak mendesak kerajaan BN supaya jangan keterlaluan melayan tuntutan kaum Cina yang didakwanya sanggup “membalas susu dengan tuba”.
Selain itu, ketuanya, Abang Abdul Nasser bin Abang Hadari dalam satu kenyataan berkata kerajaan juga wajib memulangkan kembali hak dan peruntukan keistimewaan bumiputera mengikut peruntukan perlembagaan Malaysia.
“Sejak PERKASA dilancarkan di Sarawak, ia tidak pernah mempersoalkan sebarang tuntutan kaum Cina demi menghormati Gagasan 1Malaysia dan demi keharmonian negeri Sarawak dengan memberi pengorbanan dan toleransi yang amat tinggi dalam hal ini.
“Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi DAP harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan oleh kaum Cina jika kaum pribumi Sarawak menidakkan semua tuntutan kaum Cina,” katanya.
Kenyataannya itu adalah yang terbaru berikutan rentetan beberapa siri artikel yang diterbitkan oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bermula Ahad lalu dalam ruang kolum oleh 'Awang Selamat' supaya mengabaikan kepentingan masyarakat Cina dalam strategi pilihan raya,
'Awang Selamat' - nama sama yang digunakan oleh para editor Utusan berkata sentimen anti BN oleh pengundi Cina di seluruh negara membuktikan bahawa masyarakat berkenaan bukan sahaja mahu mengekalkan penguasaan mereka di bidang ekonomi tetapi juga mahu menjadi dominan dalam bidang politik.
Hari ini, timbalan ketua pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan (kiri) mencabar Umno untuk melancarkan gagasan 1Melayu, 1Bumi ini pada kadar segera, Gagasan itu bagi menangkis apa yang dakwa Zaini sebagai agenda DAP untuk memastikan pengundi Cina meramaps kuasa politik daripada orang Melayu.
Menyokong tuntutan Utusan itu, Abang Abdul Nasser berkata tindakan masyarakat Cina yang mengundi DAP seperti yang terlihat pada keputusan pilihan raya Sarawak ke-10 yang lalu “diibaratkan seperti membela buaya yang dalam kekenyangan pun akan menggigit tuannnya”.
Selain itu, tuntutan lain PERKASA Sarawak adalah seperti berikut:
•Kerajaan BN Pusat dan negeri hendaklah mengkhaskan satu dasar khusus untuk Bumiputera Sarawak dan Sabah sebagai satu “tindakan afirmatif” yang lebih berkesan menggantikan “Dasar Ekonomi Baru” supaya segera dapat meningkatkan Ekonomi Bumiputera dengan perlu dipantau oleh Kesatuan-Kesatuan Bumiputera.
•Memastikan kaum Bumiputera yang bukan beragama Islam menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.
•Menuntut supaya semua rakyat pribumi perlu menikmati kemudahan asas seperti api, air dan klinik.
•Menuntut biasiswa automatik kepada anak-anak Bumiputera di Sarawak dan Sabah yang mencapai kelulusan minimum untuk memasuki kolej dan universiti.
•Memberi kelonggaran khusus kepada kaum bumiputera untuk memasuki IPTA dalam semua jurusan kritikal.
•Mempastikan pengagihan projek dan kontrak kepada kontraktor dan syarikat bumiputera dilakukan dengan telus dan berkesan dengan membenarkan kesatuan-kesatuan memantaunya.
“PERKASA mengucapkan syabas dan tahniah kepada pribumi Sarawak dan kerajaan BN di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan barisan wakil rakyatnya yang telah memenangi DUN masing-masing dengan cemerlangnya.
“BN harus kekalkan simpanan tetapnya (Fixed Deposit) di Sarawak yang tidak boleh sesiapa lagi menggangu gugat atau mempertikaikannya,” katanya.