Thursday, April 28, 2011

RPK nafi dakwaan 'peras ugut' Deepak

Penulis blog kontroversial Raja Petra Kamaruddin menafikan dakwaan yang dibuat oleh Deepak Jaikishan bahawa beliau dibayar RM50,000 untuk mengeluarkan beberapa artikel mengenai ahli perniagaan itu dari laman web Malaysia Today dan diberikan sebuah komputer riba Sony.

"Jika dia bayar saya RM50,000 untuk mengeluarkan artikel-artikel itu, dia cuma bazirkan wangnya kerana artikel tersebut masih di Malaysia Today... ia kini di arkib.

“Jika awak melayari Malaysia Today dan taip 'Deepak', semua artikel yang saya tulis mengenainya masih di sana,” kata Raja Petra kepada Malaysiakini melalui wawancara video Skype pada Ahad lalu.

Beliau juga menafikan bahawa menerima sebuah komputer riba daripada Deepak.

"Saya lebih canggih, saya gunakan Macbook Pro. Jika awak hendak rasuah saya, ia mestilah sebuah a Macbook Pro dan iPhone... saya memilih barangan terkini... tolong, berilah saya lebih kredit daripada ini,” kata penulis blog itu dalam nada menyindir.

Deepak membuat dakwaan itu dalam satu kenyataan akhbar dan diulanginya pada satu wawancara dengan media pada 16 April lalu. Dakwanya, penulis blog itu yang juga popular dengan nama RPK diperkenalkan kepadanya melalui seorang tengah yang bergelar 'datuk' di sebuah restoran di Subang Jaya.

Ketika itu, Deepak mendakwa beliau membayar Raja Petra bagi mengeluarkan beberapa artikel tertentu dengan bayaran RM50,000 dan sebuah komputer riba Sony. Beliau juga menuduh RPK cuba memeras ugut dan mencari keuntungan menerusi tulisannya.

Ditanya mengenai perkara berkenaan, RPK mengakui beliau berjumpa dengan 'datuk' berbangsa Cina itu di sebuah restoran di Subang Jaya selepas ditahan mengikut ISA tiga tahun lalu dan menambah 'datuk' itu adalah kenalan rapat keluarganya lebih 30 tahun.

Beliau juga mengakui seorang lelaki berbangsa India yang tidak diundangnya tiba-tiba menyertai pertemuan mereka tetapi berkata beliau tidak tahu siapa individu itu dan mengapa beliau juga datang.

"Sepatutnya hanya keluarganya (datuk Cina itu) dengan keluarga saya. Tiba-tiba ada seorang lelaki ini, saya tidak mengenalinya. Beliau duduk bersama dan menyertai kami untuk makan malam. Saya tidak diperkenalkan,” dakwa penulis blog itu.

Hazlan Zakaria & Arvind Raj
[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment