Thursday, April 28, 2011

Isu video seks Soi Lek punca MCA, SUPP kalah

Sudahlah Soi Lek dipalitkan dengan isu video seks di mana beliau sendiri mengakui melakukannya, para perwakilan MCA pula terus melantik beliau sebagai presiden - Ibrahim Ali.
PETALING JAYA : Isu video seks Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi salah satu punca kenapa masyarakat Cina menolak MCA dan SUPP dalam pilihan raya umum (PRU) 2008 dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 16 April lalu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Dato’ Ibrahim Ali berkata, sudahlah Soi Lek dipalitkan dengan isu video seks di mana beliau sendiri mengakui melakukannya, para perwakilan MCA pula terus melantik beliau sebagai presiden.

“Faktor ketiga kenapa pengundi Cina berpaling dari mengundi MCA dan SUPP ialah kerana ramai pemimpin MCA dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan rasuah,” katannya dalam satu kenyataan media.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas-Pasir Mas bekata demikian ketika membidas kenyataan Senator Datuk Heng Saei Kie yang menyalahkan akhbar Utusan Malaysia dan Perkasa sebagai punca masyarakat Cina menolak MCA dan SUPP.

Heng mendakwa peranan Utusan Malaysia dan Perkasa menyebabkan kaum Cina menolak MCA dalam PRU 2008 dan SUPP dalam PRN Sarawak baru-baru ini.

Beliau berkata, “saya nak ingatkan beliau (Heng) bukan Perkasa yang menyebabkan orang-orang Cina menolak MCA pada Mac 2008 kerana Perkasa belum wujud lagi pada PRU ke-12.

“Perkasa hanya didaftarkan pada 12 September 2008, kira-kira lima bulan selepas PRU ke-12. Perkasa juga tidak menyebabkan SUPP tewas banyak kerusi di Sarawak. Perkasa tidak ambil bahagian dalam kempen di Sarawak,” katanya.

Dalam PRN Sarawak, SUPP hanya memenangi tiga kerusi dan kalah semua kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina.

Sambil memberi amaran kepada para pemimpin MCA, Ibrahim berkata, “jangan lagi sakiti orang Melayu kerana undi orang Melayu juga penting.

“MCA mendapat kemenangan juga kerana undi orang Melayu kerana MCA memenangi kerusinya di kawasan majoriti orang Melayu,” tegas beliau.

Beliau turut menyatakan peri pentingnya undi masyarakat Bumputera berbanding undi masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) di Sarawak berikutan kejayaan BN membentuk kerajaan negeri baru-baru ini.

Berhubung hal ini, Ibrahim menyoal, “mana yang lebih penting…..100% sokongan daripada Bumiputera atau 100% sokongan Cina?”

Lantaran itu, beliau menyokong saranan Yang DiPertua Perkasa Sarawak Abang Nasser Abang Hadari agar pemimpin Cina tidak diberi tempat di dalam kabinet kerajaan Sarawak.

Kenyataan media ini dikeluarkan Ibrahim beberapa hari selepas sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat MCA, Kuala Lumpur.

Demonstrasi itu diadakan ekoran parti perkauman Cina itu menyalahkan akhbar Utusan Malaysia dan Perkasa yang membangkitkan isu perkauman hingga menyebabkan mereka tewas dalam pilihan raya.


K Pragalath FMT

No comments:

Post a Comment