Tuesday, November 2, 2010

Sarawak lulus kertas putih mahu kawal politik bahaya

KUCHING, 2 Nov – Sarawak mungkin menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan peraturan atau garis panduan tersendiri bagi membendung aktiviti politik tidak sihat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Ini berikutan kelulusan sebuah usul bagi kerajaan negeri menyedia dan mengeluarkan sebuah Kertas Putih untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Selepas membentangkan usul itu, Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya) berkata cadangan Kertas Putih harus digubal oleh kerajaan negeri kerana trend politik tidak sihat yang terbatas di Semenanjung sudah menular ke dalam arena politik tempatan.

Usul itu disokong oleh Andy Chia (BN-Pujut).

“Apa yang kita bahas hari ini bukan mengubal undang-undang baru tetapi cadangan untuk merangka Kertas Putih,” katanya semasa ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Memetik definisi Kertas Putih oleh eknsiklopedia bebas, Wikipedia, Abdul Karim berkata ianya sebuah laporan berwibawa tentang sesuatu isu atau masalah dengan tujuan mendidik dan membantu orang membuat keputusan dan sering digunakan dalam politik, dasar, perniagaan dan bidang teknikal.

Katanya cadangan Kertas Putih itu tidak harus dilihat sebagai peraturan atau garis panduan yang tertakluk hanya kepada parti pembangkang sahaja malah kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Usul itu disokong oleh 43 wakil rakyat manakala lima membantah.

Menjawab soalan Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek), katanya, adalah amalan biasa bagi kerajaan negeri atau pusat mengumumkan projek baru semasa kempen pilihan raya.

“Ia bukan rasuah... kita melakukannya atas permintaan rakyat,” katanya sambil menjelaskan negeri yang dperintah oleh pembangkang seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan turut berbuat demikian.

Sementara itu, cubaan Wong, iaitu ketua pembangkang, untuk mengemukakan usul bagi membincangkan isu himpunan sampah sarap berupa batang dan sisa-sisa kayu terhanyut di Sungai Rejang pada 7 Okt lalu ditolak atas alasan teknikal dan gagal mendapat sokongan.

Hanya lima wakil rakyat dari parti pembangkang iaitu empat dari DAP dan satu dari Parti Cinta Malaysia (PCM) mengundi untuk membahaskan usul tersebut manakala 57 wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) menolak.

Terdahulu itu, Speaker Datuk Seri Mohammad Asfia Awang Nassar menolak satu lagi usul dari Wong bagi memotong RM100 sebulan dari gaji semua menteri dan menteri muda kerana mengabaikan tanggungjawab masing-masing dalam menyediakan jawapan bertulis kepada wakil rakyat.

Mohammad Asfia berkata usul sama telah dibentangkan pada persidangan itu pada 18 Mei lalu. – Bernama


TMI

No comments:

Post a Comment