KUALA LUMPUR, 2 Nov — Ketika parti-parti bertanding mempertingkatkan strategi menghadapi hari pengundian Khamis ini, hasil kajian menunjukkan Barisan Nasional (BN) mendahului PAS yang mahu mempertahankan kerusinya.
Bagaimanapun majoriti pengundi belum membuat keputusan dan bersikap tunggu dan lihat walaupun BN tipis di hadapan PAS.
PAS memenangi kerusi DUN Galas buat julung kali dua tahun lalu.
Kajian kendalian Ilham Centre menunjukkan masih ramai pengundi belum membuat keputusan mengenai parti pilihan mereka pada pilihan raya kecil DUN Galas ini.
Penemuan itu menunjukkan BN menjadi pilihan kira-kira 22 peratus pengundi manakala mereka yang menjangkakan PAS akan menang adalah sebanyak 15.6 peratus.
Tinjauan dibuat The Malaysian Insider yang dilaporkan pagi tadi juga menunjukkan BN mendahului PAS.
“Dari hasil kajian lapangan di atas bolehlah dibuat kesimpulan bahawa setakat tempoh berkempen ini, bacaan sikap pengundi atas pagar, dan Orang Asli adalah penentu kejayaan calon Umno-BN untuk menang.
“Manakala PAS perlu mengekalkan momentum kejayaan pada pilihan raya lepas dengan mengekalkan sokongan pengundi Cina di kawasan Bandar, bergantung kepada pengundi luar Galas serta memenangi hati pengundi Umno/BN yang kecewa dengan kerajaan persekutuan,” katanya.
Ilhan juga melihat dalam fasa akhir kempen yang berbaki dua hari lagi, peluang kedua parti untuk menang masih terbuka luas dengan syarat jentera harus agresif meyakinkan pengundi.
Kajian ini dijalankan selama tiga hari mulai 29 Oktober lalu.
Firma penyelidikan bebas ini menambah, jumlah pengundi meletakkan jawapan tidak pasti dalam jangkaan parti mana akan menang adalah paling tinggi berbanding kawasan lain dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini terutama dalam saat hampir dengan tarikh pengundian.
“Jumlah pengundi ini boleh ditafsirkan sebagai pendirian berhati-hati dan mengambil pendirian tunggu dan lihat,” kata Ilham Centre dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut firma itu, jumlah peratusan yang belum membuat pendirian adalah 54.1 peratus.
“Ini juga dilihat menyediakan peluang terbuka kepada kedua-dua parti ini untuk berusaha meyakini dan memenangi hati pengundi untuk parti masing-masing menang dalam pilihan raya ini,” katanya.
Ilham Centre menambah, dapatan kajian lapangan di kalangan pengundi di DUN Galas mendapati bahawa pengundi terlalu berhati-hati dalam menyatakan kecenderungan pola pengundian mereka.
“Jika diamati pada dapatan kajian, kebanyakan pengundi mengambil pendirian tunggu dan lihat ‘tawaran politik’ oleh kedua-dua parti yang bertanding.
“Ini merujuk kepada soalan kepada mereka mengenai parti mana yang akan menang dan jawapan kepada numerator kebanyakannya memilih tidak pasti akan mengundi siapa dan tidak respons sebagai tanda menyembunyikan pendirian politik mereka begitu tinggi,” kata pusat kajian ini.
Kata Ilham Centre, ia juga memperlihatkan satu trend menarik pengundi yang mana pendirian mereka yang memerlukan komitmen politik oleh kedua-dua parti dalam survival kehidupan mereka.
Firma kajian ini menambah, mereka memerlukan PAS untuk menyelesaikan persoalan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri seperti pemilikan tanah, peluang pekerjaan, keperluan infrastruktur seperti air dan perparitan dan sebagainya.
“Mereka juga masih memerlukan BN bagi pihak kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan keperluan dan bantuan pertanian seperti baja, kemudahan infrastruktur dan pembangunan dalam cakupan kuasa federal kerana corak majoriti pengundi merupakan petani.
“Maka, Ilham dapati dilema pendirian ini menyebabkan mereka mengambil pendirian berhati-hati sebelum menterjemahkan sokongan politik mereka kepada calon dan parti yang bertanding.
“Mereka juga dilihat seolah-olah cuba mengelak daripada dilabel sebagai memihak dan berusaha menyembunyikan pendirian politik mereka dikhuatiri akan menjejaskan peluang untuk mendapatkan tuntutan setempat mereka,” kata firma itu lagi.
Kajian ini, menurut Ilham Centre, dijalankan bagi melihat empat asas utama dalam kerangka pilihan raya iaitu menilai sikap pengundi terhadap calon bertanding, mengetahui isu mempengaruhi undi, mengukur kekuatan jentera parti pada persepsi pengundi dan parti manakah pada pengamatan mereka akan memenangi dalam pilihan raya kecil ini.
Bagaimanapun menurut kajian itu, penemuan menunjukkan populariti calon PAS melebihi calon Umno.
“Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad dilihat lebih dikenali di kalangan pengundi berbanding calon BN.
“Merujuk kepada soalan mengenai calon yang mereka kenali, sejumlah 60 peratus pengundi yang ditemu bual mengakui mengenali calon PAS ini,” katanya.
Ini antara lain kerana Dr Zulkefli ini pernah bertanding sebagai calon Parlimen pada pilihan raya lepas dan ditafsirkan sebagai kelebihan kepada jentera PAS berbanding BN.
“Namun begitu, calon Umno/BN mengekori rapat dengan 56.7 peratus popular di kalangan pengundi,” kata Ilham Centre lagi.
Ilham Centre juga mendapati isu tanah dan infrastruktur tidak lengkap membelit kempen PAS.
“Dalam dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa isu pemilikan tanah agak kritikal dibangkitkan oleh pengundi terutama di Daerah Mengundi Kampung Pulai, Batu Papan, Lepan Tupai dan Sungai Terah.
“Isu tanah diwakili peratusan tertinggi isu utama bagi pengundi Galas iaitu sebanyak 56.5 peratus.
“Rungutan infrastruktur yang kurang memuaskan sebanyak 45 peratus,” katanya lagi.
Merujuk kepada isu tanah Kampung Pulai misalnya, kata Ilham Centre, permintaan pengundi Cina Peranakan terhadap status tanah yang diterokai mereka masih belum jelas status hak milik menyebabkan pendirian politik mereka agak dingin.
“Ini sedikit memberi tekanan dalam kempen PAS kerana pengundi di sini ingin melihat penyelesaian konkrit dalam permasalahan ini,” jelas kajian ini.
Malah hasil kajian juga menunjukkan jentera tempatan tidak kelihatan, tetapi didominasasi oleh jentera luar dan kekuatan hampir seimbang anatara kedua parti.
Oleh G Manimaran TMI
No comments:
Post a Comment