KUALA LUMPUR, 21 Okt : Ahli Parlimen PAS Kelantan yakin, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas yang akan diumum parti itu malam ini adalah terbaik untuk rakyat di Dun itu.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli, beliau yakin segala pertimbangan sudah dibuat kepimpinan parti bagi memastikan calon yang akan mewakili PAS pada PRK itu bukan sahaja mampu menjadi wakil rakyat, malah juga mampu meneruskan legasi khidmat cemerlang Adun sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.
Menurutnya, kaedah pemilihan calon yang bermula dengan PAS negeri membuat saringan di peringkat PAS kawasan, kemudian dibawa ke PAS pusat dan seterusnya kepada Majlis Syura PAS, sudah cukup untuk memastikan calon yang bakal diketengahkan adalah calon terbaik dari segala aspek.
"Saya yakin, siapa juga calon yang akan diumum malam ini adalah yang terbaik kerana telah melalui saringan di peringkat akar umbi.
"Tentunya calon tersebut seorang yang dikenali rakyat Galas dan sumbangannya juga diketahui umum masyarakat di situ," katanya yang juga bendahari PAS Pusat.
Seorang lagi Ahli Parlimen PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar juga mempunyai pandangan serupa.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat berkata, calon yang akan diumum malam ini tentunya sesuai dengan kondisi masyarakat Galas yang rencam.
"Galas ini kawasannya luas, ada penduduk bandar dan ada luar bandar. Tentunya calon yang dipilih adalah calon yang menguasai keadaan di Galas ini," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS pusat.
Selain itu jelasnya, calon yang akan dipilih PAS juga sudah tentu calon yang memahami kepelbagaian kaum di Galas yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.
"Saya yakin calon itu nanti akan mempermudah kempen kita bagi mengekalkan Dun Galas," katanya.
Dalam pada itu, PAS akan mengumumkan calon mereka malam ini bertempat di perkarangan Markas Besar PAS di Bandar Lama bersebahan pejabat pos Gua Musang.
Ketiga-tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah mengesahkan kehadiran malam ini.
Pengumuman malam ini juga adalah bersempena ceramah perdana sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nazri Abdullah Harakahdaily
No comments:
Post a Comment