Sejak meninggalkan Barisan Nasional beberapa bulan selepas pilihan raya umum 2008 atas alasan tidak ‘ngam’ dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, Parti Maju Sabah (SAPP) belum memutuskan menyertai pembangkang dalam pakatan rakyat.
Namun, dengan dua kerusi parlimen dan empat di Dewan Undangan Negeri, SAPP yang diketuai Datuk Yong Teck Lee bertindak sebagai pembangkang di negeri Bawah Bayu itu.
Pasti ramai tertanya-tanya, ke arah mana atau nasib masa depan SAPP selepas keluar BN dan sekiranya mereka tidak menyertai pakatan rakyat.
Bagaimanapun, ada yang merasakan SAPP akan kembali bersama komponen lain dalam BN tetapi ada juga berpendapat parti itu bersedia bersama-sama pembangkang menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang.
Tetapi berkemungkinan juga SAPP hanya akan mengukuhkan kedudukan mereka untuk mengambil alih Sabah sahaja kerana Teck Lee yang pernah menerajui kepimpinan negeri itu sebelum ini pernah menyatakan bahawa partinya bersedia bertanding bagi memenangi 40 kerusi DUN bagi membolehkan mereka menguasai Sabah.
Itu cita-cita Teck Lee. Tetapi tanpa kedudukan sama ada di parlimen atau DUN, beliau yang tidak dicalonkan pada PRU ke 12 kerana dilarang jadi calon selama 5 tahun mulai 2006, menjadikan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi sebagai landasan bagi menempatkan semula dirinya di arena politik yang lebih besar bukan sekadar presiden SAPP.
Timbul tanda tanya kenapa SAPP gagal berunding dengan pakatan rakyat sehingga parti itu dan PKR turut bersaing menentang calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin.
Adakah apa-apa muslihat antara Teck Lee dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik pertembungan tiga penjuru di Batu Sapi pada kempen pilihan raya sedang berlangsung?
Ada sumber memberitahu Agendadaily – pakatan rakyat mahukan kemenangan SAPP walaupun PKR mencalonkan Ansari Abdullah kerana mahu SAPP menyertai pakatan pembangkang bagi membolehkan Anwar menambah pengaruh di Parlimen.
Namun melihat pada ceramah Teck Lee di Kampung Karamunting Baru, malam Rabu, terdapat keraguan pada kemungkinan itu apabila beliau menyifatkan PKR parti bermasalah termasuk insiden berkelahi merebut jawatan.
Malah beliau mengakui secara terbuka bukan agenda utama SAPP mahu menyertai Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Dalam ceramahnya, Teck Lee mempersoalkan sama ada bekas timbalan perdana menteri itu akan melindungi rakyat Sabah jika berjaya menawan Putrajaya.
Keyakinannya pada Anwar hanya setakat beliau percaya Ketua Umum PKR itu satu-satunya pemimpin yang berdaya maju dalam pakatan rakyat untuk menyandang jawatan Perdana Menteri dalam waktu terdekat.
“Ya, kami melihat dia sebagai (calon) Perdana Menteri berdaya maju. Katakan, apa-apa terjadi ke atas beliau dan tidak lagi layak bertanding sebagai calon, maka pembangkang akan berhadapan dengan tugas berat untuk mencari alternatif kepada Anwar,” katanya.
by Lukman Abdullah Dan Helme Hanafi (Galas) Roslan Bian Dan Mohd Hiekal (Batu Sapi) MD
No comments:
Post a Comment