Lesen judi sukan dibangkit, Pakatan ‘serang’ Umno Kelantan
Nik Aziz dengan gaya sendiri berceramah di kawasan pengundi Melayu di Sungai Terah, Gua Musang malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
GUA MUSANG, 29 Okt — Kempen pilihan raya kecil kerusi DUN Galas yang menghampiri separuh jalan “dihidupkan” oleh isu lesen judi sukan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) meletakkan kesalahan ke atas Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Husin.
Pada pertemuan di kawasan perkampungan orang Melayu di Sungai Terah di sini malam tadi, kedua-dua Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan pengundi tentang pendirian tegas PR dari awal menentang langkah kerajaan pusat memberikan lesen judi bola sepak sehingga Putrajaya membatalkannya kemudian.
“Siapa yang mahukan judi bola sepak? Secara kebetulan dia dari Kelantan. Lelaki dari Bachok,” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan merujuk kepada Awang Adek.
“Saya rasa malu dengan tindakan dia,” kata beliau pada majlis ceramah yang dihadiri kira-kira 200 orang.
Pilihan raya kecil DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Dr Zulkefli Mohamad dari PAS dan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff.
Mei lalu, Awang Adek yang juga timbalan menteri kewangan mengumumkan bahawa kerajaan dengan serius sedang mempertimbangkan langkah membenarkan judi sukan menjelang kejohanan Piala Dunia 2010.
Bagaimanapun keputusan itu dibatalkan kurang dua bulan selepas itu dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pentadbirannya tidak akan mengeluarkan lesen bagi tujuan tersebut.
Keputusan itu diumumkan Najib, selaku Presiden Umno, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) partinya.
Beberapa minggu sebelum pengumuman Najib, yang juga Menteri Kewangan itu, tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan berkata, syarikatnya Ascot Sports Sdn Bhd telah menerima kelulusan bagi lesen yang telah lama dikeluarkan.
Sebahagian daripada penyokong PAS mengikuti ceramah Nik Aziz dan Lim di kawasan Sungai Terah, Gua Musang malam tadi.
Beberapa pihak dalam Barisan Nasional (BN) menyokong langkah itu tetapi Umno Johor, Perak dan Pemuda Umno menentang langkah memberikan lesen untuk diadakan judi bola sepak.
Malah, kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kedah pimpinan PR juga memutuskan tidak akan memberi lesen bagi premis yang menyediakan perkhidmatan judi sukan.
Semalam, Nik Aziz memberitahu bahawa pemimpin-pemimpin Umno yang menyokong keputusan itu harus belajar daripada rakan sejawatannya dari Pulau Pinang, Lim yang berusaha untuk menghentikan judi sukan.
“Tengok apa yang Umno mahu lakukan. Mereka orang Melayu dan Islam. Di sini, kita ada seorang Cina yang enggan membenarkan judi sukan tetapi Umno pula masih mahukannya,” kata Nik Aziz lagi.
Dalam pada itu, Lim yang berucap sebelum Nik Aziz berceramah mempertahankan pentadbirannya yang dilabel sebagai anti-Islam oleh pembangkang di Pulau Pinang.
Kerajaan Pulau Pinang didakwa oleh Umno sebagai menggunakan hasil bisnes judi untuk membayar wang ihsan RM100 bagi warga emas.
Ia telah dinafikan oleh pentadbiran Pulau Pinang bulan lalu.
“Mereka menghimpunkan orang ramai untuk mengutip duit yang dikatakan 'wang haram' tetapi sehingga sekarang kerajaan negeri tidak menerima satu sen pun. Kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa duit daripada hasil judi,” kata Lim lagi.
“Ingat lagi (lesen) judi sukan? Siapa mahukan judi sukan, ia adalah Umno, Awang Adek adalah rakyat Kelantan.
“Maafkan saya, tetapi saya perlu berkata di sini. Umno mahu memperkenalkan judi sukan tetapi siapa yang membantahnya? Kerajaan negeri Pulau Pinang yang menghentikannya,” tambah beliau.
Oleh Adib Zalkapli TMI
No comments:
Post a Comment