Friday, October 29, 2010

DHPP boleh jadi calon PAS pada PRU ke-13

SETIU : PAS sekali lagi mengulangi kesediaan parti itu untuk meletakkan calon di kalangan pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

PAS akan meletakkan calon DHPP dalam pilihan raya akan datang di kawasan yang dipilih oleh parti terutama di negeri pantai barat.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam ucaptamanya di Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2010 Kali Ke-14, di perkarangan Surau Kampung Tanjung, Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, Setiu pada 23 Oktober lalu.

“Kalangan bukan Islam pula telah diterima jadi ahli penyokong PAS. Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Insya’Allah, dalam pilihan raya akan datang kita akan letak calon di kalangan mereka (DHPP) di pantai barat. Di kawasan-kawasan yang kita (PAS) pilih untuk mereka,” ujarnya.

Kata Ustaz Abdul Hadi, di Terengganu PAS telah meminda Perlembagaan Tubuh Negeri ketika memerintah negeri tersebut pada tahun 2003.

Menurutnya, jika tidak ada calon di kalangan bukan Islam yang dipilih atau menang pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) boleh melantik sebagai ahli Dewan.

“Bagi negeri Terengganu, semasa kita (PAS) memerintah negeri ini (1999-2004) kita telah pinda Perlembagaannya.

“Sekiranya, tidak ada calon bukan Islam dipilih atau menang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, mereka boleh dilantik sebagai wakil rakyat bukan Islam oleh Dewan.

“Jika kita (PAS) menang, Insya’Allah kita akan lantik dia (bukan Islam) jika dia tidak bertanding atau bertanding tidak menang,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata PAS telah mempunyai rakan dalam perjuangannya bagi membina suatu kekuatan dalam parti.

Menurutnya, tidak mustahil PAS dan Pakatan Rakyat boleh memerintah negara dalam pilihan raya akan datang.

Malah, katanya PAS hanya memerlukan sekitar 60 kerusi dari 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan tidak semestinya perlu 222 kerusi.

“Sekarang kita (PAS) telah ada rakan (DHPP) dan Kita telah membina suatu kekuatan. Dengan sebab itu, tidak mustahil kita (Pakatan Rakyat) boleh memerintah negara.

“Jika PAS dapat 60 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen itu sudah cukup. Bila PAS dapat 60 kerusi dan Umno dapat 30 hingga 40 sahaja. Masa itu, Umno hendak pergi ke mana?

“Masa itu kita percaya, rakan-rakan bukan Islam akan bersama dengan kita (PAS). Kita (Pakatan Rakyat) boleh tubuh kerajaan, Insya’allah,” ujarnya.

Selain itu, katanya politik adalah suatu ‘percaturan’ yang diketahui oleh ahli-ahli politik dan terserahlah kepada pemimpin yang menyusun dan merancangnya.

Menurutnya, berdasarkan beberapa kajian pakar politik serta ahli-ahli akademik merumuskan PAS adalah sebuah parti yang teguh dan kuat masa kini.

“Sebab itu, pekerja-pekerja (jentera parti) kita (PAS) kena faham biar pemimpin yang menyusun dan merancang.

“Kita (ahli PAS) taat dengan ikhlas dalam satu jemaah (parti), Insya’Allah kita akan dapat fadhilat dan pertolongan dari Allah.

“Berdasarkan beberapa kajian yang dibuat oleh pakar politik dan ahli akademik bahawa PAS adalah sebuah parti yang teguh dan kuat. Parti yang mempunyai kewibawaan tersendiri,” ujarnya.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing bersama rombongannya dan Pengerusi DHPP Kuala Terengganu, DR Chandra.

Hadir sama, Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib, Tiga orang Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ustaz Satiful Bahri Mamat.

BO

No comments:

Post a Comment