Wednesday, October 13, 2010

Taib tiada beri bayangan pilihan raya Sarawak lagi

Walaupun tarikh sebenar pilihan raya negeri Sarawak masih menjadi perhatian, namun ucapan perasmian majlis 'Lan Berambeh' anak negeri Sarawak 2010 oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Kuala Lumpur, malam semalam tidak sedikit pun menyentuh isu tersebut.

Beliau yang dijangka akan membangkitkan isu tersebut di hadapan hampir 3,000 anak negeri Sarawak yang hadir pada majlis itu, sebaliknya lebih banyak menyentuh tentang soal pembangunan dan transformasi untuk negeri Sarawak seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Taib turut meminta seluruh rakyat Sarawak supaya bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama kerana dengan cara itu sahaja ekonomi Sarawak dapat melalui proses transformasi.

Hampir 3,000 anak Sarawak daripada pelbagai golongan, termasuk pelajar hadir di majlis anjuran Persatuan Anak Sarawak Semenanjung di Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) Technology Centre, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Taib berkata lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi akan dicipta di Sarawak terutama melalui pembangunan Koridor Sarawak, justeru beliau mahu setiap pelajar memilih kursus yang betul dalam merebut peluang itu.

"Saya rasa bila saya bersara nanti, saya boleh lihat lebih ramai generasi muda Sarawak menerajui ekonomi Sarawak nanti," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment