Friday, October 1, 2010

Islam Menghebatkan Melayu

Kita berbangga kerana kejayaan satu-satu usaha. Menjadi satu-satu bangsa bukan kerana usaha apa-apa, ditakdirkan Allah begitu.

Tidak adil bagi Allah kiranya Dia melebihkan satu-satu bangsa atas bangsa lain. Bangsa yang tidak dilebihkan akan terasa hina tak pasal-pasal.

Allah sendiri berfirman:

Bermaksud: “Hai, manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.” (Surah Al Hujuraat, ayat 13)

Persoalan penegasan Allah ini, satu-satu bangsa itu akan menjadi hebat apabila bangsa itu mencapai tahap kemuliaan dan diperkasakan dengan ketakwaan. Kemuliaan bermakna beriman dengan penuh yakin dan istiqamah kepada ajaran Islam. Sementara takwa merupakan ukuran kehebatan dan keperkasaan bangsa itu berusaha menegak apa yang diperintah (perkara maaruf) di sisi Allah dan sentiasa meninggalkan malah mencegah daripada melakukan apa yang dilarang (perkara mungkar) di sisi Allah. Maknanya nilai bangsa itu akan dipandang hebat apabila ia mencapai tahap kemuliaan dan ketakwaan menurut acuan Allah SWT. Bukannya hebat bangsa itu kerana namanya atau kuatnya semangat perkauman Melayu atau Cina atau India dan sebagainya.

Cuba fahami hadis baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, “dengarlah dan taatlah sekalipun yang (menjadi ketua) memerintah kamu itu seorang hamba Habsyi.”

Maknanya, atas nama apa bangsa (walaupun sifatnya hodoh) ia bukannya ukuran darjat kemuliaan. Demikianlah bangsa Arab dari Mekah bila berpindah (hijrah) ke Madinah al-Munawarah, Rasulullah tidak menyebutnya ‘al-Makkiyin’ tetapi disebut ‘al-Muhajirin’. Serupa juga Arab Madinah yang menyokong Rasulullah tidak disebut ‘al-Madaniyyin’ tetapi disebut ‘al-Ansar’ iaitu dilenyapkan gelaran atau identiti bangsa masing-masing dan ditimbulkan jasa bakti mereka kepada agama Allah.

Tiada nilai bila tolak Islam

Sudahlah begitu, Melayu sekarang tolak Islam ganti dengan kebangsaan (nasionalis). Makin lagi tidak ada nilai di sisi Allah. Jika itu bangsanya kita (tolak Islam), tambah malu saya jadi Melayu!

Cuba perhatikan dalam takbir hari raya. Ada disebutkan :


Bermaksud, “dan yang memuliakan tentera-Nya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (kekuasaan-Nya).”

Kedua-duanya disebut beramai-ramai dalam masjid. Maka ia sudah menyatakan suatu kenyataan politik dalam masjid dan ketika berhari raya. Bagaimana mungkin nilai-nilai politik itu diasingkan dalam urusan agama?. Maka cara Islam, di mana-mana saja politik dengan agama tidak boleh dipisahkan hatta dalam masjid!

Dasar Islam adalah jelas. Islam menolak fahaman sekular. Soalnya sebab apa Negara kita ini dikatakan sekular. Puncanya tidak lain kerana ada loophole apabila Inggeris tinggalkan kepada kita kesan-kesan “devide and rule” yang merupakan permainan penjajah musuh Islam agar orang Islam sendiri terikut-ikut dan tidak berdaya mengubahnya. Benarkah begitu? Sehingga kita tidak terikat dengan fahaman penjajah.

Tiada halangan untuk Islam

Pernah ada kenyataan dari pihak Majlis Peguam Muslim, betapa dalam perlembagaan tidak pun dinyatakan sebarang peruntukan yang mengesahkan Negara kita adalah sekular. Malah seorang pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari turut menegaskan hakikat Islam adalah agama persekutuan yang sepatutnya diperundangkan dan diamalkan di dalam setiap segi kehidupan di Malaysia ini. Kenapakah pemimpin Umno memandang sepi kenyataan ini? Sedangkan di sisi perlembagaan Negara ia tiada halangan untuk memakai Islam, kerana ia adalah hak mutlak umat Islam. Maka tiadalah secular sebagaimana didakwa.

Solanya ada pemimpin Umno yang beria-ia mempertahankan amalan sekular dengan menolak dasar Islam dalam keadaan tertentu, dan menerima Islam di mana ia menguntungkan Umno. Justeru memang layak Umno dikalah dalam pilihan raya demi untuk diberi pula peluang kepada pihak lain berkuasa. Baru perlembagaan dapat diperjelaskan mengikut maksud sebenarnya. Dalam hal ini, orang Umno patut malu kepada orang India (yang belum Islam) seperti Balasundram dari Dewan Himpunan Penyokong PAS yang sedia menganjurkan seminar bagi memperjelaskan keadilan Islam kepada pihak yang belum memahami hakikat adilnya hukum Islam! Apakah selama ini, pihak Umno tidak terfikir untuk membuat perkara yang sama kepada rakan-rakan dalam BN?

Umno punca keliru

Apa yang mengelirukan umat Malaysia, Umno sendiri mengaku perjuang Islam, tapi masih tolak Islam, seperti undang-undang jenayah dalam Islam (hudud). Sebaliknya Umno terus berkeras dengan kebangsaan (perjuangan untuk bela Melayu). Malah berbangga dan mengagung-agungkan semangat perkauman yang sempit dengan melaungkan ‘hidup Melayu.’

Maka suka saya nyatakan, sudah berkali-kali saya mengajak Umno agar mengubah dasar itu. Sudah berkali-kali saya sebutkan kepada pemimpin Umno agar tinggalkan perjuangan kebangsaan dan terimalah perjuangan Islam. Kalau hari ini Umno berbuat demikian, maka hari ini juga saya sanggup bubar PAS untuk sama-sama berjuang Islam dengan Umno. Namun sampai sekarang mereka tidak sanggup mengubah dasar parti Umno itu kepada dasar Islam! Di manakah duduknya roh Islam dalam Umno? Saya tanyakan persoalan ini untuk dijawab oleh seluruh umat Malaysia.

blogtokguru

No comments:

Post a Comment