Wednesday, September 15, 2010


“Sekian hamba rakyat mengaku taat setia dan kepada Allah SWT dipohonkan taufik dan hidayat semoga Tengku Muhammad Faris Petra dapat memerintah dan memandu negeri agar aman, mewah dan makmur dan semoga Allah SWT menyelamatkan Tuanku di dunia dan di akhirat,”

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan pelantikan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa semalam.

Nik Abdul Aziz mengumumkan pengisytiharan itu mengikut Perkara 29A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Mengikut Perkara 29A Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Kelantan telah melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan Ayahanda Baginda, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra berkuat kuasa hari ini (semalam),” katanya ketika mengumumkan pengisytiharan pelantikan raja baru, semalam.

Pengumuman itu dibuat Nik Abdul Aziz kira-kira jam 12.30 tengah hari di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini dengan dihadiri kira-kira 500 tetamu jemputan.

Hadir sama pada majlis tersebut, Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad, keluarga diraja, pembesar-pembesar negeri serta anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Sebelum majlis pengisytiharan itu dibuat, satu mesyuarat bagi mendapatkan keputusan mengenainya telah diadakan kira-kira jam 9 pagi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim.

Nik Abdul Aziz yang turut mewakili rakyat jelata, taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Kelantan.

“Sekian hamba rakyat mengaku taat setia dan kepada Allah SWT dipohonkan taufik dan hidayat semoga Tengku Muhammad Faris Petra dapat memerintah dan memandu negeri agar aman, mewah dan makmur dan semoga Allah SWT menyelamatkan Tuanku di dunia dan di akhirat,” katanya.

Nik Abdul Aziz mengakhiri pengisytiharan itu dengan laungan takbir “Allahuakbar” sebanyak tiga kali.

Sinar Harian difahamkan mesyuarat MPN seramai 15 daripada 17 ahli MPN hadir pada mesyuarat yang diadakan itu.

Dua ahli yang tidak hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan yang juga kerabat Diraja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan Tengku Amalin A’Ishah Putri.

Bagaimanapun jemputan kepada kedua-dua mereka telah dihantar pada 9 September lepas dan difahamkan mereka telah memberikan jawapan lisan untuk tidak hadir pada majlis tersebut.

Tuanku Sultan Ismail jatuh gering pada 19 Mei tahun lalu dan pada 24 Mei tahun lalu baginda telah dibawa ke Singapura untuk mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth di sana.

Sehubungan itu, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan.

SH

No comments:

Post a Comment