Wednesday, September 15, 2010

PRU 13 sengit, pengundi mahu PR menang besar

BAGAN DATOH, 15 Sept (Hrkh) : Pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) bakal menyaksikan pertarungan sengit selepas berlaku kebangkitan baru di kalangan pengundi yang inginkan kemenangan lebih besar Pakatan Rakyat.

Setiausaha PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki menegaskan, pengalaman tumbangnya negeri di bawah PR lantaran kemenangan kecil yang boleh ditumpaskan bila tiga wakil rakyat melompat; menyemarakkan daya juang.

“Rakyat melihat perkara ini sebagai satu pengalaman pahit yang mesti ditebus semula di dalam pilihan raya depan, ujarnya, semangat ini hendaklah diterjemahkan terus dengan tindakan di petak peti undi.

“Perubahan ke arah terbaik akan dapat dilakukan dengan lebih hebat jika kita dapat memerintah negeri ini, kerana itu jangan hanya menang di Dun Rungkup sahaja tetapi kita mahu menang besar,” tegasnya.

Disebutkan beberapa contoh terbaik gandingan yang berlaku sehingga kini di antara pimpinan Pakatan Rakyat yang banyak saling memahami antara satu sama lain yang menggerunkan BN.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh berucap demikian dalam Majlis Meraikan Perantau sempena Aidilfitri 1431H di markaz PAS kawasan di Selekoh, dekat sini, kelmarin.

Justeru, beliau menyeru pengundi kelahiran Bagan Datoh terutama anak muda diseru mendaftar mengundi di kawasan ini dalam usaha melipatgandakan jumlah pengundi dalam PRU 13 akan datang.

Dalam pada itu, Misbahul juga berkata, sudah sampai masanya Kempen Mengundi Balik Kampung digerakkan ke seluruh kawasan bagi memastikan hasrat mendapat kemenangan besar tercapai.

Beliau turut menyarankan penubuhan NGO seperti Ikatan Anak Perantau Bagan Datoh dan seumpamanya diperbanyakkan kerana dengan itu berbagai perkara dapat dilakukan dalam usaha gembleng minat dan semangat pengundi.

Dalam majlis sama juga, beliau melancarkan Gerakan Infak Dewan Serbaguna PAS Kawasan Bagan Datoh yang sudah dimulai dengan pembinaan cerucuk dalaman melebihi RM20 ribu.

Sehubungan itu, mereka yang berminat berbuat demikian boleh melayari http://pasbagandatoh53.blogspot.com/ dan http://misabah.blogspot.com/ untuk mendapat maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment