KUALA LUMPUR, 5 Sept : Setelah dikritik dan dibantah banyak pihak, stesen televisyen swasta TV3 hari ini menarik balik iklan kontroversi Aidil Fitri yang disiar stesen itu sejak beberapa hari lalu.
Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.
Pihak mereka juga turut memohon maaf di atas penyiaran iklan tersebut yang telah mengguris hati umat Islam.
Permohonan maaf itu diumumkan melalui Buletin Utama jam 8 malam tadi.
Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat bercadang menghantar surat bantahan ke stesen televisyen tersebut dan juga kepada Kementerian Penerangan esok ekoran penyiaran iklan tersebut.
Selain mengguris perasaan umat Islam, iklan tersebut juga dakwa mereka mengelirukan dan boleh menjerumuskan umat Islam ke kancah syirik.
Biarpun menepati konsep 1Malaysia, namun iklan tersebut dilihat mencemar kemuliaan Aidil Fitri yang akan disambut umat Islam tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) digesa cermat dan memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.
Iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat umat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.
Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.
No comments:
Post a Comment