Ezam sanggup bantu Parlimen siasat Anwar, serah dokumen esok
TERKINI
Oleh G. Manimaran
HULU SELANGOR, 21 April — Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) akan membekalkan Barisan Nasional (BN) dokumen yang didakwanya boleh membuktikan Ketua Umum Pakatan Rakyat bersekongkol Israel, esok.
Ezam Mohd Noor akan menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan, antaranya surat Anwar agar teman wanita bekas presiden Bank Dunia Paul D. Wolfowitz, Shaha Riza, dipinjamkan ke Foundation for the Future.
Surat bertarikh 1 Okt 2006 ditulis kepada Robin Cleveland, Kaunselor Bank Dunia oleh Anwar selaku Pengerusi Foundation for the Future ketika itu.
“Saya akan serahkan dokumen-dokumen ini kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin semasa kempen (Pentas Pemuda) di sini malam esok,” katanya pada sidang media di pejabat Umno Hulu Selangor di sini hari ini.
Ezam akan muncul bersama Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau pada majlis kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Ezam, bekas ketua sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang Anwar merupakan penasihatnya, menunjukkan fail dokumen kira-kira 50 muka surat.
Katanya, dokumen itu diterima beberapa hari lalu daripada seorang, rakyat Malaysia, yang bekerja di Bank Dunia.
Beliau hanya mengedarkan salinan kepada media surat Anwar kepada Cleveland dan salinan berita bertajuk “Woman In World Bank Controversy Working on Mideast Project” siaran laman web washingtonpost.com.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dijadual membentangkan usul merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan esok, hari terakhir sidang Dewan Rakyat semasa.
Selain itu kata Ezam, beliau bersedia untuk memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika dipanggil.
“Saya sedia untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, dan juga mana-mana mahkamah jika dipanggil,” katanya lagi.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dijangka menyiasat Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berhubung dakwaan beliau bahawa APCO Worldwide yang dilantik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk merangka konsep 1Malaysia ada hubungan dengan Israel.
Firma itu dikatakan turut terlibat dalam projek melahirkan konsep One Israel.
Mengulas lanjut, Ezam berkata beliau membangkitkan isu berkenaan bagi menunjukkan bahawa Anwar mempunyai hubungan dengan Yahudi yang menganiaya dan menindas umat Islam dengan merujuk kepada Wolfowitz, yang merupakan bekas setiausaha pertahanan dan arkitek melancarkan perang terhadap Iraq.
Israel pula menafikan hak rakyat Palestin.
“Saya cuma hendak membuktikan bahawa sebenarnya ada hubungan Anwar dengan seorang pemimpin masyarakat Yahudi... jadi siapa yang mengkhianati bangsa?” katanya.
Pada sidang media ini, Ezam juga mempersoalkan Anwar yang mempertikaikan peranan APCO dengan mendakwa kerajaan menggunakan khidmat firma untuk melobi agar Najib dapat bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama baru-baru ini.
Sambil berkata usaha itu tidak salah jika membawa manfaat kepada rakyat dan negara, Ezam menambah, Anwar juga pernah berbuat demikian ketika menjadi timbalan perdana menteri di mana pernah mendapatkan khidmat Asia Pacific Policy Centre (APPC) yang bekerjasama dengan badan pemikirnya Institut Kajian Dasar (IKD) lebih satu dekad yang lalu.
“Anwar pernah menggunakan APPC. Jadi apa salahnya jika kerajaan menggunakan APCO sekiranya ia boleh membawa manfaat kepada negara?
“Saya tahu sebab saya sendiri terlibat dalam IKD,” katanya sambil menambah, memang pernah ada pertemuan, sekitar tahun 1993 atau 1994, untuk menyalurkan dana bagi membolehkan APPC mengadakan program membawa senator dari Amerika Syarikat.
“Dana itu melibatkan duit kerajaan, secara spesifik saya tidak boleh memberitahu tetapi memang ada pertemuan menyalurkan dana... pertemuan itu dihadiri oleh bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid ketika itu,” katanya.
themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment