Wednesday, March 10, 2010

DUN Sarawak bubar Jun ini?

Wednesday, 10 March 2010 1:28 PM
Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak kederangan sejak tahun 2008 lagi. Namun, Ketua Menteri (KM) Sarawak, Taib Mahmud sehingga kini tetap dengan pendiriannya enggan membubarkan Dun di negeri itu.

Terdapat dua faktor utama yang kerap diambil oleh Pengerusi BN di Sarawak itu setiap kali adanya pilihanraya iaitu faktor pengukuhan ekonomi negara dan faktor perpecahan Pakatan Rakyat (PR).


Faktor Ekonomi

Sehubungan itu, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Pengerusi BN, Najib Razak tergesa-gesa mengumumkan Malaysia keluar dari kesan krisis ekonomi, iaitu sehari selepas Pengerusi Umno itu melawat Sarawak.

Walaupun diakui, angka-angka ekonomi yang diumumkan itu langsung tiada kesan kepada rakyat marhaen, tetapi lebih kepada mahu meraih keyakinan pengundi Cina di Sarawak untuk kembali menyokong BN pada pilihanraya negeri akan datang.

Pada pilihanraya negeri sebelum ini, sekutu BN yang mewakili masyarakat Cina, iaitu SUPP mengalami prestasi terburuk dalam sejarahnya apabila hilang lapan kerusi Dun walaupun ketika itu Tsunami Politik belum melanda seluruh negara.

SUPP sehingga kini kekal dengan krisis dalaman apabila presidennya enggan melepaskan jawatan walaupun sebelum ini pernah berjanji untuk melepaskannya.

Malah, parti tertua di Sarawak itu juga berdepan dengan sindrom keluar parti beramai-ramai termasuklah pemimpin kanannya yang menyertai PR.

Dari aspek lain juga, Taib yang juga Presiden parti PBB turut mengambil tema ekonomi sempena perhimpunan agung parti itu di Kuching baru-baru ini, sesuatu yang jarang berlaku bagi parti itu.

Faktor Pakatan Rakyat

Ingat lagi tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Batang Air yang diadakan serentak dengan PRK Dun Bukit Selambau dan PRK Parlimen Bukit Gantang pada 7 April tahun lalu?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu hanya menetapkan ketiga-tiga PRK itu berlangsung serentak selepas menemui Taib Mahmud, walaupun sebelum itu SPR mahu ia diadakan secara berasingan.

"Oleh kerana ia melibatkan bahagian di Sarawak dan oleh kerana SPR juga bercadang mengunjungi pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, maka mesyuarat akan diadakan di Kuching bagi menetapkan tarikh pilihan raya.

Kerusi Batang Air melibatkan kawasan pedalaman dan ia terletak di Sarawak manakala Bukit Gantang dan Bukit Selambau di Semenanjung.

Jadi, banyak persiapan perlu diadakan... jadi tidak mungkin diadakan serentak," ," kata Timbalan Pengerusi SPR ketika itu, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada 25 Februari 2009.

Pada PRK itu, BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Batang Air yang antara faktornya ialah kurangnya pimpinan PR berada di Dun Batang Air akibat jentera pilihanraya yang terpaksa berpecah kepada tiga bahagian.

Malah, Ketua Umum PKR sendiri ketika itu menghadapai kekangan masa untuk menjelajah dalam tempoh singkat di Dun Batang Air kerana turut berkempen di Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang.

Pada masa sama, seluruh jentera BN negeri berkampung di Dun itu selain bantuan media dan SPR sendiri yang kurang dipantau oleh pimpinan PR pusat.

Ini diakui sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Sarawak, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Addy Aliyanni yang berkampung di Batang Air sebelum penamaan calon sehinggalah selesainya PRK di situ.

"Wujud keadaan di mana pengiraan undi dikira seawal pukul tiga petang sedangkan waktu itu proses membuang undi masih lagi berjalan.

Lebih malang lagi, apabila pengiraan itu dilakukan tanpa kehadiran wakil calon dari PR,” katanya yang turut ditemani Kelab Penyokong PAS dari Sarawak.

Pada pilihanraya itu, seluruh jentera BN negeri berkampung di Dun Batang Air manakala pimpinan utama PR amat jarang ditemui bagi membantu jentera PR ketika itu.

Pilihanraya Perak, Sarawak serentak ?

Bagi memastikan BN terus memerintah di Sarawak pada pilihanraya negeri akan datang, strategi yang sama akan digunakan iaitu memecahkan jentera PR agar tidak tertumpu di Sarawak.

Sehubungan itu, pilihanraya Perak dan Sarawak akan diadakan serentak selain beberapa lagi kerusi parlimen dan Dun akan diishtiharkan kosong.

Sebab itu, awal-awal lagi Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain menyifatkan penafian Bendahari Umno, Ahmad Husni Hanadzlah sebagai kenyataan politik berhubung pilihanraya di negeri itu.

Turut menafikan perkara itu ialah Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yasin.

Untuk rekod, penfian itu dibuat oleh kedua-dua timbalan Najib, di mana Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Umno manakala Husni Hanadzlah ialah Menteri Kewangan II dan Najib ialah Menteri Kewangan I.

Perlu diketahui, jadual asal program Juara Rakyat anjuran Umno bagi peringkat negeri Perak ialah pada Mei ini tetapi ia diawalkan pada bulan ini, Mac sebagai persediaan awal parti itu untuk berdepan dengan pilihanraya negeri selain pemimpin MCA, Chua Soi Lek telah memberikan senarai calon parti itu kepada Zambry beberapa minggu lalu.

Menarik juga untuk dicatatkan di sini, Program Juara Rakyat anjuran Umno buat pertama kali diishtihar sebagai program itu juga mesti diperluaskan di Sarawak.

Sarawak satu-satunya negeri yang mengharamkan kemasukan Umno ke negeri itu dan jadual yang diterima oleh pihak media semasa pelancaran program Umno itu di Hulu Selangor Januari lalu tidak menyenaraikan Sarawak dalam program itu.

Dua Bukit Satu Batang versi 2010

Bagi memecahkan lagi jentera PR, dijangkakan beberapa lagi PRK akan berlangsung secara serentak di seluruh negara termasuklah yang melibatkan kerusi yang dimenangi PR sebelum ini bagi kawasan Parlimen Batu, Chua Tian Chang.

Oktober tahun lalu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR dihukum enam bulan penjara dan denda RM3,000 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menggigit anggota polis.

Beliau akan hilang kerusi parlimennya itu jika rayuannya yang dijadualkan didengar pada 13 April ini ditolak.

Jika kerusi itu kosong, maka pilihanraya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari atau selewat-lewatnya pertengahan Jun tahun ini.

Selain itu, kerusi Dun Kota Seputeh sehingga kini terus tertangguh di mahkamah walaupun sebelum ini ia telah diishtihar kosong.

Jika itu kedua-dua kerusi itu kosong, maka situasi Dua Bukit Satu Batang akan berulang kembali setersunya jentera PR akan berpecah untuk menumpukan keseluruhan PRK itu.

Apa yang berlaku Mei ini ?

BN tahu, Anwar merupakan antara faktor penting dalam PR, sehubungan itu, mereka akan melakukan apa jua cara bagi memastikan Anwar terganggu atau sekurang-kurangnya disibukkan dengan apa jua kes bagi memastikan Pimpinan utama PR itu tidak membantu PR.

Selain isu tuduhan liwat dalam Fitnah kali ke dua yang dilemparkan terhadap Ketua Pembangkang itu, Anwar turut disibukan dengan beberapa kes lain termasuklah apabila Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mei ini, untuk mendengar permohonan mantan Timbalan Perdana Menteri itu berhubung pembatalan samannya terhadap Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang didakwa memalsukan keterangan dalam siasatan kes insiden ‘mata lebam’ pada tahun 1998.

Kerajaan turut membatalkan buat sementara waktu berhubung struktur baru subsidi minyak yang sepatutnya diumumkan Mei ini.

Malah, Menterinya, Ismail Sabri Yaakob menukarkannya kepada Makmal Rasionalisasi Subsidi bagi mengabui mata rakyat.

Bagi Sarawak, Mei ini ialah kemuncak program Hari Bertemu Pelanggan, anjuran SPR Sarawak yang telah dimulakan sejak Januari lalu.

“Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan melancarkan program kemuncak 'Pendaftaran Perdana Peringkat Negeri Sarawak' di Tebingan Sungai Kuching Mei ini,” kata Timbalan Pengarahnya Wan Fadilah Wan Ahmad pada 27 Januari lalu.

Program itu telah berjalan sejak setahun lalu dan dilancarkan secara agresif sejak Januari lalu dengan kemuncaknya di Kuching pada Mei ini.

Setakat ini, SPR mengesan sejumlah 437,369 orang di negeri Sarawak yang sudah layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Di pihak BN Sarawak pula, satu-satunya sekutu BN di negeri itu yang belum mengadakan pemilihan tahunan parti mereka ialah PRS yang dijadualkan pada 15 Mei ini, di Bintulu, Sarawak.

Sekutu BN di Sarawak terdiri daripada SUPP, SPDP dan PBB yang masing-masing telah mengadakan pemilihan termasuklah PBB yang berakhir minggu lalu.

Kemuncak pembubaran Dun Sarawak Jun ini?

Pada 10 Disember tahun lalu, Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Umno memberitahu, kementeriannya menetapkan tempoh dua tahun untuk menyelesaikan isu Kad Pengenalan penduduk Sarawak, termasuklah 10,056 kaum Penan yang menetap di luar Bandar dalam kawasan Baram di negeri itu.

“Selepas tempoh itu berakhir semua permohonan individu yang mendakwa sudah menetap lama di negeri ini tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan MyKad tidak akan dipertimbangkan lagi,” katanya semasa melawat Long Kevok di Baram, Sarawak 10 Disember lalu.

Anehnya, pada 7 Mac lalu, gabungan Mahkamah, polis dan Jabatan Pendaftaran Negara yang menggempur kawasan Baram memberitahu bahawa masalah Kad Pengenalan di kawasan itu akan di selesaikan dalam tempoh tiga bulan yang akan berakhir awal Jun ini.

Najib pula akan memperincikan Model Ekonomi Baru Jun ini yang draf pertama akan dibentangkan hujung Mac ini.

“ Draf pertama MEB yang merangkumi matlamat dan cadangan akan diumumkan pada persidangan InvestMalaysia 2010 hujung bulan ini. Yang akan diumumkan Jun ini adalah butiran terperinci model berkenaan," Ketua Setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Prof Dr Norma Mansor pada 8 Mac lalu.

Pada 10 Jun ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10).

“Peruntukan kerajaan kepada Sarawak untuk RMK-10 hanya akan diketahui pada 10 Jun setelah ia dibentangkan di Parlimen dan saya tidak dapat mendedahkan maklumat ini lebih awal kerana ia merupakan maklumat sulit,” katanya selepas menghadiri sesi dialog mengenai RMK-10 dengan kerajaan negeri di Kuching, 15 Januari lalu.

Turut hadir, Ketua Menteri (KM) Sarawak, Taib Mahmud, Timbalannya, George Chan Hong Nam dan Alfred Jabu Numpang serta barisan Kabinet kerajaan negeri.

Rekod menunjukkan, Taib Mahmud yang menjadi KM sejak era Tun Hussien Onn itu kerap membubarkan Dun setahun lebih awal.

Tempoh Dun Sarawak akan berakhir Jun tahun depan.

Kerusi Melayu/Melanau cabaran besar buat Pakatan Rakyat di Sarawak - Baru Bian

EraPakatan

No comments:

Post a Comment